Bahasa

Asean bakal meriahkan ekspo Hari Koperasi Negara

July 06, 2012

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Ekspo Hari Koperasi Negara (HKN) ke-11 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 13 Julai ini, bakal menjadi sambutan terbesar menerusi penyertaan koperasi dari negara Asean.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Md Yusof Samsudin berkata ini adalah kali pertama koperasi dari rantau Asean menyertai ekspo tersebut yang merupakan pengisian sambutan Hari Koperasi Negara 2012.

Antara negara Asean yang akan menyertai ekspo dan pameran selama tiga hari itu ialah Indonesia, Filipina, Brunei dan Thailand.

“Sebanyak 300 gerai pameran disediakan untuk koperasi di Malaysia dan negara Asean untuk sama-sama mempamerkan produk koperasi mereka,” katanya kepada

Bernama di sini. Md Yusof berkata HKN merupakan satu platform kepada ahli koperasi untuk bertemu dan bertukar-tukar idea bagi mengembangkan koperasi masing-masing, selain menjadi medan mempromosikan konsep dan produk koperasi kepada orang ramai.

“Semua ahli koperasi dari seluruh negara akan berkumpul bagi meraikan HKN dan sambutan ini akan menjadi satu wadah untuk melihat perkembangan koperasi semenjak dari penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata pelbagai program diatur untuk memeriahkan sambutan HKN 2012, antaranya pesta buku bersama Karangkraf, mini karnival kerjaya Jabatan Tenaga Kerja, klinik konsultasi oleh agensi kerajaan dan karnival mini TV3. 

Ekspo dan pameran HKN itu dijangka dirasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Julai ini pada pukul 8.30 malam.

Tahun ini SKM menyasarkan 100,000 ahli koperasi dan orang ramai menghadiri sambutan Hari Koperasi Negara. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi