Bahasa

ASEMME4 medium perkongsian maklumat terbaik sektor pengajian tinggi

May 15, 2013

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Eropah Ke-4 (ASEMME4) yang berakhir semalam adalah medium terbaik untuk berkongsi maklumat dan memperluaskan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi antara dua benua itu.

Persidangan selama tiga hari itu melibatkan 152 peserta dari 32 negara Persidangan Asia-Eropah (ASEM) memberi peluang kepada sektor pengajian tinggi Malaysia mempelajari amalan terbaik daripada negara anggota, memperluaskan jaringan universiti dan berkongsi pendekatan yang telah diamalkan di Eropah untuk diterapkan di universiti tempatan.

ASEM adalah satu proses dialog dan kerjasama tidak formal antara negara-negara Asia dan Eropah dan bertujuan untuk menangani isu-isu politik, ekonomi dan budaya dengan matlamat mengukuhkan hubungan dua hala menerusi semangat saling menghormati dan mewujudkan perkongsian strategik dan sama rata.

Selain itu, penglibatan negara dalam ASEMME4 juga dapat meningkatkan keupayaan Malaysia dalam proses penyelarasan kelayakan akademik yang mampu memastikan bidang pengajian tinggi negara berkualiti dan sistem yang diaplikasikan adalah setanding dengan universiti-universiti luar negara.

Persidangan kali ini memberi tumpuan khas kepada empat topik utama iaitu jaminan kualiti dan pengiktirafan, mobiliti, pembelajaran sepanjang hayat termasuk pendidikan vokasional dan latihan serta kerjasama universiti-perniagaan, sebagai langkah memperkukuh usaha sama antara negara Asia dan Eropah.

Isu berkaitan mobiliti diberi penekanan khusus Kementerian Pengajian Tinggi memandangkan berlaku jurang yang amat besar dalam aliran pelajar dan staf di kedua-dua rantau, di mana kehadiran pelajar Asia ke Eropah jauh mengatasi kehadiran pelajar benua Eropah yang melanjutkan pelajaran ke Asia.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Dr Morshidi Sirat ketika ditemui menyatakan persidangan itu adalah platform bagi Malaysia yang berhasrat untuk menjadi tumpuan utama dalam melaksanakan aktiviti mobiliti untuk kedua-dua rantau menerusi pertukaran budaya, petugas dan penyelidik serta fizikal dan bukan fizikal (menerusi Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

Persidangan itu turut bersetuju menggunakan Kenyataan Keyakinan (SoC) iaitu pengiktirafan pendidikan bagi mana-mana negara anggota ASEM agar masalah ketidakseimbangan mobiliti penuntut di benua Asia dan Eropah dapat diselesaikan.

Ia adalah cara terbaik bagi memudahkan mana-mana universiti melakukan perpindahan kredit pengajian di kedua-dua benua berbanding kaedah sebelum ini yang memerlukan perincian khusus bagi setiap kursus pengajian menyebabkan berlaku sedikit kesukaran dalam perjalanan aliran pelajar.

Menerusi ASEMME4 juga, Malaysia berjaya menarik perhatian persidangan apabila dipilih sebagai tumpuan utama pelan strategik pembelajaran sepanjang hayat di kalangan negara ASEM apabila kualiti pengajian bidang kemahiran dan teknikal dipertingkat tahun depan.

Pelaksanaan pelan tersebut dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan menggembleng tenaga tempatan untuk terus menjadikan negara salah sebuah hab pendidikan bertaraf dunia pada masa hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor berkata perkembangan terkini pelan yang dilancar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2011 itu dilihat mampu menarik minat beberapa negara Asia dan Eropah mencontohinya untuk dilaksana di negara masing-masing.

Kejayaan Malaysia menganjurkan persidangan itu untuk kali pertama bertambah manis apabila sistem pengajian tinggi negara diiktiraf di tangga ke-27 terbaik dunia daripada 50 negara berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Sosial dan Ekonomi Gunaan, Universiti Melbourne, Australia.

Kedudukan itu sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di Asia Tenggara, iaitu di belakang Singapura dan juga antara terbaik di dunia apabila mengatasi beberapa negara terkemuka dalam beberapa aspek yang dinilai. Sebagai contoh, dalam kriteria persekitaran, Malaysia mengatasi China, Kanada, Denmark, Korea, Jerman, Switzerland dan Chile manakala dari segi jaringan dan hubungan antarangbangsa, negara mengatasi Taiwan, Korea dan Greece.

Kebolehan Malaysia menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa juga diakui oleh negara luar termasuk Latvia menerusi Menteri Pendidikan dan Sains Dr Vjaceslavs Dombrovskis yang menyatakan negaranya perlu bekerja keras untuk menyaingi Malaysia apabila menjadi tuan rumah persidangan ASEMME Ke-5 pada 2015. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi