Bahasa

Audit PKR di Selangor ada unsur penipuan, kata SPR

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

September 21, 2012
Latest Update: September 22, 2012 12:32 am

PUTRAJAYA, 21 Sept — Pengerusi  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mendedahkan tentang terdapatnya unsur penipuan yang berlaku dalam audit daftar pemilih yang dilakukan oleh PKR di negeri Selangor.

Menurut Abdul Aziz (gambar), penipuan dikesan sewaktu dijemput dalam sebuah program radio Bernama bersama-sama setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini. 

“Dalam program tersebut Saifuddin menunjukkan kepada wartawan gambar sebuah 'Dangau' yang dikatakan terdapat 18 orang pengundi berdaftar di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

“Saya minta dia tunjukkan gambar tersebut, gambar tersebut kami ambil untuk buat kajian.

“Namun apabila SPR turun di lapangan, rupa-rupanya, Dangau itu adalah tempat letak motosikal dan sebenarnya terdapat 32 buah keluarga tinggal kampung tersebut, gambar tersebut sebenarnya di crop.

“Ini salah satu bukti penipuan dalam audit yang dilakukan oleh PKR,” kata Abdul Aziz kepada pemberita.

Dangau adalah merujuk kepada pondok di dalam loghat Kedah yang digunakan oleh Saifuddin.

“Sebab itu apabila terdapat kekeliruan atau tidak jelas tentang sesuatu perkara, datang berjumpa SPR.

“Jangan terus dedah kepada media kerana ini akan mengelirukan orang ramai,” kata pengerusi SPR itu lagi.

Abdul Aziz turut menunjukkan gambar-gambar hasil  penyiasatan yang dilakukan oleh pasukan penyisat SPR Selangor ke Kampung Sungai Pusu yang menunjukkan 32 keluarga yang menetap di kampung tersebut menggunakan satu alamat yang terletak di pondok tersebut.

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengumumkan tidak akan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) serentak dengan pilihan raya umum (PRU) oleh kerana daftar pemilih yang tidak bersih.

Dalam statistik terbaru SPR digazet pada 16 Ogos yang dihantar kepada The Malaysian Insider, SPR merekodkan jumlah pemilih berdaftar seramai 13,052,374 orang di mana 12,778,127 orang adalah pengundi biasa dan 274,247 orang adalah pengundi tidak hadir yang terdiri daripada tentera, polis dan pengundi luar negara.

Selangor mempunyai pengundi luar negeri yang paling tinggi iaitu 597 orang manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah pengundi tidak hadir paling tinggi iaitu seramai 40,543 orang.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi