Bahasa

Aunty Bersih beri sokongan kepada Suaram di hadapan pejabat SSM

Oleh Md Izwan
September 18, 2012

Aunty Bersih (kiri) serta beberapa lagi wakil badan bukan kerajaan memberi sokongan kepada Suara Rakyat Malaysia di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia di KL Sentral , 18 September 2012. — Gambar oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR, 18 Sept — Annie Ooi, atau lebih dikenali sebagai “Aunty Bersih”, juga turun memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) semasa pelancaran kempen “Stand up for Suaram” sebagai tanda bantahan ke atas tekanan yang diterima di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di KL Sentral  pagi ini.

Turut hadir pada pelancaran kempen ialah pengerusi Suaram, Arumugam Kalimuthu, ahli parlimen PKR, Nurul Izzah Anwar, wakil Lawyers for Liberty (LFL) Fadiah Nadwa dan wakil peguam, Wong Kah Fai.

“Kami sedia disiasat dan akan memberi kerjasama penuh kepada SSM.

“Kami juga bersedia dengan sebarang tindakan dan tidak berganjak memperjuangkan hak asasi manusia,” kata Arumugam.

Fadiah wakil LFL juga bertindak menyelar tindakan SSM yang tidak adil dan telus dalam menjalankan siasatan dan mempersoalkan keperluan menggunakan 6 agensi hanya semata-mata mahu menyiasat Suaram.

“Sampai sekarang, kami tidak tahu Suaram akan didakwa dibawah kesalahan apa?

“Mereka tidak menghantar sebarang surat atau notis kepada mereka?” kata Fadiah.

Minggu lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan kenyataan mengesahkan Suaram merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar serta mendakwa tidak pernah mengemukakan permohonan untuk didaftarkan.

Kontroversi dan tekanan ke atas Suaram dari agensi-agensi kerajaan bermula sejak Julai lalu apabila sekumpulan wakil dari SSM cuba memasuki pejabat mereka dengan menggunakna notis seksyen 7B dibawah Akta Syarikat 1965 (Company Act 1965).

Dalam pada itu, pengerusinya Arumugam bertindak memberi amaran kepada SSM dan mencabar kesemua agensi-agensi kerajaan supaya mengambil tindakan sama dalam kes melibatkan kapal selam Scorpene serta mendedahkannya kepada orang awam.

“Suaram sedia bekerjasama dengan SSM dan agensi kerajaan yang terlibat tetapi saya beri amaran kepada mereka yang terlibat dalam  kes Scorpene untuk tampil memberikan kerjasama seperti yang Suaram lakukan,” kata Arumugam.

Kempen  “Stand up for Suaram” yang dilancarkan menurut Arumugam lagi adalah petanda kebangkitan orang awam dan NGO lain yang membantah tekanan dan gangguan yang diberikan kepada badan hak asasi manusia tersebut.

Menurut Arumugam lagi, Suaram telah berjaya mengumpul sebanyak 138 NGO tempatan dan 56 NGO benua Asia yang tampil memberikan sokongan kepada mereka dan menggesa kerajaan supaya menamatkan gangguan dan tekanan ke atas mereka sejak Julai lalu.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada Suaram pagi tadi meluahkan rasa kecewa tindakan oleh pihak SSM sambil menegaskan perkara ini akan dibawa ke parlimen memandangkan peranan penting yang dimainkan NGO tersebut.

“Isu ini akan dibawa ke parlimen, peranan Suaram dalam memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia sangat penting dan harus dihargai. Saya sangat kecewa dengan tindakan SSM yang cuba menindas Suaram,” kata Nurul.

Suaram sebelum ini mengakui menerima dana dari beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Finland, namun penasihat Suaram, Dr. Kua Kia Soong mempertahankan pendiriannya melibatkan pembiayaan dana daripada negara asing serta berkata ia bukan suatu kesalahan disisi undang-undang.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi