Bahasa

Bacaan al-Quran: Jangan burukkan kegawatan fatwa, kata bekas KP Ikim

Oleh G Manimaran
August 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim menasihatkan pihak berkuasa agama tidak memburukkan “kegawatan fatwa” di sebalik kontroversi terbaru ekoran larangan Jabatan Mufti Pulau Pinang berhubung penggunaan pembesar suara untuk bacaan al-Quran pada waktu subuh.

“Kita telah banyak mengalami kagawatan fatwa agama selama ini, maka pihak berkuasa agama, terutamanya pejabat mufti negeri seharusnya tidaklah menambah lagi kegawatan ini seterusnya,” kata beliau dalam entri terbaru blognya hari ini.

Baru-baru laporan media menyebut Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

Ketika beberapa pihak termasuk Umno membantah langkah itu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong langkah itu.

Ismail yang juga bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata beliau rasa dalam suasana dan persekitaran semasa timbul beberapa rungutan dan persoalan di Pulau Pinang tentang kenapa sehingga Jabatan Mufti yang seharusnya mengeluarkan arahan berhubung perkara tersebut.

Justeru kata beliau, seperti biasa isu itu dihubungkan dengan isu politik, maka timbul persoalan “apakah hal ini amat sensitif di Pulau Pinang sehinggakan amalan agama Islam sering dilihat sebagai satu isu yang harus diubah amalannya akhir-akhir ini, termasuk isu pemilihan para pengendali masjid baru-baru ini yang hendak diadakan secara pilihan raya.”

Sehubungan itu Ismail juga berkata, beliau merasakan hal ini tidak menjadi isu jika arahan yang dikeluarkan tidak menyentuh soal haram atau halal.

“Apabila dikatakan bahawa bacaan al-Quran itu haram, maka timbullah persoalan apakah membaca al-Quran sebelum subuh itu haram dengan menggunakan pembesar suara, dan kalau sebabnya diharamkan itu ialah kerana hal ini mengganggu orang di sekeliling, maka apakah tidak ada lagi perbuatan lain yang diamalkan oleh penganut berbagai agama yang mengganggu jiran tetangga selain daripada hanya mengeluarkan hukum ini khusus terhadap bacaan al-Quran saja?” katanya yang kini menyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ismail menjelaskan, beliau juga merasakan pihak berkuasa agama Islam sepatutnya hanya mengeluarkan arahan dan nasihat supaya pihak surau atau masjid yang mahu menyiarkan bacaan al-Quran sebelum subuh, hendaklah mengurangkan volum suaranya, jangan terlalu tinggi, dan janganlah melakukannya terlalu lama sebelum azan atau mungkin hanya beberapa minit supaya orang Islam dapat menerima isyarat bahawa waktu subuh telah hampir menjelang.

“Tetapi apabila dikeluarkan hukum haram tentang perkara ini, maka orang akan bertanya haram bagaimana? Bida’ah? dan sebagainya,” katanya lagi.

Tambahan pula kata beliau, jika larangan itu ditafsirkan sebagai fatwa, maka Majlis Fatwa Kebangsaan harus mengambil keputusan di peringkat persekutuan supaya larangan atau hukum ini, tidak merupakan satu lagi fatwa kerajaan negeri yang tidak selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan atau fatwa yang bercanggah dengan fatwa majlis tersebut seperti yang berlaku sebelum ini dalam fatwa ESQ, tarian poco-poco dan sebagainya.

Ismail pernah menghasilkan tulisan-tulisan menyentuh isu bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau sebelum solat subuh pada tahun 2000 hingga 2002.

Mengenai isu itu lagi, kata Ismail, pada pandangan “saya suara bacaan yang terlalu tinggi, termasuk juga dengan menggunakan pita, CD dan sebagainya, dengan suara yang tinggi boleh mengganggu orang ramai di sekeliling masjid atau surau itu, termasuk orang sakit, kanak-kanak dan sebagainya.”

“Saya juga tekankan bahawa bacaan al-Quran adalah untuk didengar dan dinikmati maknanya, sebab itulah dalam al-Quran ditegaskan bahawa apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarkanlah dan diamlah, jangan berkata-kata supaya segala yang dibaca itu dapat diikuti dengan penuh kyusuk,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, ketika menulis sebelum ini beliau tidak memikirkan supaya hal berkenaan perlu dibawa ke dalam Majlis Fatwa untuk dikeluarkan satu ketetapan atau hukum sebagai arahan daripada pejabat mufti kerana hal ini tidaklah seharusnya menjadi isu fatwa, sebab fatwa merupakan satu hukum yang serius bagi satu isu yang besar dan muktamad.

“Saya hanya membicarakan tentang perkara ini yang telah menjadi satu rutin biasa yang tidak mengambil kira tentang hikmah bacaan al-Quran, terutamanya dengan menggunakan pembesar suara dengan suara yang amat tinggi dan memakan masa yang lama sebelum azan dilaungkan,” katanya.

Bermakna kata beliau, pihak masjid dan surau yang ingin menyiarkan bacaan al-Quran sebelum waktu sembahyang haruslah mengambil kira tentang jangka masa bacaan itu dilaungkan supaya tidak terlalu lama dan tahap kekuatan suaranya janganlah terlalu tinggi.

“Maknanya pihak surau atau masjid hendaklah menggunakan budi bicara dan pertimbangan sendiri supaya hal ini tidak mengganggu orang di sekeliling,” kata beliau lagi.

“Itulah di antara pokok persoalan yang saya timbulkan pada masa itu, terutamanya saya telah mendengar bahawa pihak berkuasa agama Selangor waktu itu, mungkin melalui Istana Sultan telah mengeluarkan arahan yang sama iaitu melarang sebarang bacaan sama ada al-Quran atau “tarhim” disuarakan melalui pembesar suara ke luar masjid sebelum waktu subuh.

“Tetapi apabila arahan ini telah dikeluarkan melalui pejabat Mufti Pulau Pinang, maka hal ini mungkin mengelirukan umat Islam, apakah hal ini merupakan satu isu agama yang memerlukan fatwa daripada Mufti atau satu larangan biasa yang tidak bersandarkan fatwa?” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi