Bahasa

BAE Systems gandakan usaha untuk dapatkan lebih ramai rakan usaha sama di Malaysia

July 01, 2012

KUALA LUMPUR, 1 Jul — Syarikat pertahanan, keselamatan dan aeroangkasa dunia, BAE Systems, mahu meningkatkan hubungannya dengan rakan usaha sama di Malaysia serta menggandakan usaha untuk menjalin hubungan baharu dengan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Asia Tenggaranya John Brosnan berkata setelah menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab Asia Tenggara sejak berpindah dari Singapura tahun lepas, BAE Systems kini mengkaji untuk meluaskan penguasaannya di luar Lembah Klang.

“Kami berada di sini untuk jangka masa yang panjang. Kami baru sahaja memulakan proses untuk keluar dari Lembah Klang. Kami mahu ke Pantai Barat, Pantai Timur dan Johor, mencari rakan kongsi perniagaan. Ia merupakan usaha yang berterusan,” kata Brosnan kepada Bernama.

Brosnan berkata BAE Systems kini menggandakan usahanya untuk mencari rakan perniagaan baharu, terutama PKS.

“Kami perlu realistik dan kami sudahpun memperoleh hubungan yang baik,” katanya.

BAE Systems sudah beroperasi di Malaysia selama lebih 20 tahun. Syarikat itu kini terlibat dalam lebih daripada sedozen rakan perniagaan dan usaha sama dengan syarikat-syarikat tempatan seperti Composites Technology Research Malaysia Systems Integration Sdn Bhd (CTRM), Boustead Heavy Industry Corporation dan BHIC Bofors Asia Sdn Bhd.

“Malaysia mempunyai pengalaman yang baik untuk kami. CTRM sebagai contoh, kami memain peranan kecil dalam syarikat itu — daripada hanya beberapa orang yang bekerja untuk beribu-ribu orang,” kata Brosnan (gambar).

Menurutnya BAE Systems mendapati banyak syarikat kecil yang mempunyai aspirasi yang besar yang diurus dengan baik oleh mereka yang berkeupayaan tinggi di Malaysia.

“Kami merupakan syarikat yang besar dan agak sukar untuk sentiasa memantau syarikat yang lebih kecil. Kami memerlukan syarikat yang sudah bersedia, kreatif dan inovatif. Itulah kualiti yang kami temui di sini,” katanya.

Brosnan berkata banyak syarikat mengenali BAE Systems pada awal kewujudannya di sini sebagai British Aerospace, namun syarikat itu tidak sekadar itu lagi.

“Kami merupakan syarikat global yang beroperasi di udara, laut dan darat. Kami mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat industri di sini dan kami mahu memahami keutamaan ekonomi tempat ini,” katanya.

Brosnan berkata walaupun BAE Systems sebahagian utamanya merupakan syarikat pertahanan, rekod pelaburannya bukan sahaja dalam industri pertahanan, malah terlibat dalam bidang seperti modal insan dan pendidikan.

Untuk masa depan, antara bidang yang sedang dikenal pasti syarikat itu ialah keselamatan siber.

“Kami sudah mewujudkan hab serantau keselamatan siber untuk Asia Tenggara, BAE Systems Stratsec, di Kuala Lumpur,” kata Brosnan.

BAE Systems Stratsec ialah penyedia perkhidmatan pengujian dan perunding keselamatan maklumat bebas terbesar di Australia dan Asia Tenggara.

Brosnan berkata syarikat itu mengaji 12 pegawai berkemahiran tinggi, kesemuanya rakyat Malaysia, yang menjalankan banyak jalinan kerja dengan agensi-agensi kerajaan dan sektor perkhidmatan kewangan.

“Ia mempunyai keupayaan yang besar. Ia merupakan syarikat tempatan yang menawarkan pekerjaan berteknologi tinggi kepada rakyat Malaysia. Apa yang kami tidak mahu buat ialah untuk mengatakan kami sudah mendapat jawapannya di Eropah, oleh itu kita perlu membelinya. Kami mahu membangunkan penyelesaian untuk Malaysia di Malaysia,” kata Brosnan.

BAE Systems mempunyai pelan pertumbuhan yang besar dalam bidang berkenaan dan mengunjurkan peningkatan ketara bilangan tenaga kerja dalam beberapa tahun akan datang, katanya.

Menurutnya BAE Systems tidak melihatnya sebagai syarikat asing yang beroperasi di Malaysia.

“Kami mahu menjadi sebahagian daripada industri Malaysia. Anda akan mendengar lebih banyak berita kami dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi