Bahasa

Bakat orang ramai dipelawa sertai ‘Borneo Talent Awards 2012’

SIBU, 4 Sept — Rakyat Malaysia dipelawa menunjukkan bakat dalam pelbagai bidang seni pada pertandingan Borneo Talent Award 2012 anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada 22 hingga 25 Nov.

Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng berkata pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur dengan penyertaan dibahagi kepada kategori individu dan berkumpulan.

“Borneo Talent Awards 2012 merupakan medan kepada orang ramai untuk mempersembahkan bakat antaranya dalam bidang nyanyian, tarian, alat muzik, silap mata, persembahan mimik, lakonan bisu, akrobatik dan segainya,” katanya.

Beliau berkata peserta akan dinilai berdasarkan kriteria seperti kreativiti, kemahiran artistik, persembahan, seni reka dan keunikan dengan penghakiman akhir akan dibuat berdasarkan undi awam yang merangkumi 30 peratus daripada markah keseluruhan.

Sesi pemilihan akan berlangsung pada 22 dan 23 Nov diikuti peringkat separuh akhir pada 24 Nov dan pertandingan akhir pada 25 Nov di Dewan Suarah Sibu.

“Pemenang Borneo Talent Award akan membawa pulang piala dan wang tunai RM5,000 manakala peserta paling popular, paling kreatif dan paling menghiburkan juga akan membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000,” katanya.

Sementara itu, pihak penganjur turut menyediakan hadiah khas berupa piala dan wang tunai RM500 kepada lima pemenang. Borang penyertaan boleh dimuat turun di laman web www.smc.gov.my atau diambil di tingkat 23, Wisma Sanyan, Sibu.

Tarikh akhir penyertaan ialah pada 9 Nov 2012. — Bernama

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments