Bahasa

Banjir Jakarta: 24 penuntut Malaysia pulang, 38 masih di Dewan Malaysia

Mangsa banjir berebut untuk minum air di daerah Pluit di Jakarta, 20 Jan 2013. — Gambar ReutersMangsa banjir berebut untuk minum air di daerah Pluit di Jakarta, 20 Jan 2013. — Gambar ReutersJAKARTA, 20 Jan — Seramai 24 dari 62 penuntut Malaysia yang ditempatkan sementara di Dewan Malaysia di Jakarta Pusat berikutan kejadian banjir di Jakarta, dibenar pulang ke rumah masing-masing di kawasan Tomang dan Roxy di Jakarta Barat.

Pengarah Education Malaysia (EM) Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata pihaknya telah memeriksa kawasan penempatan penuntut itu pagi ini dan bersetuju dengan pemintaan mereka untuk pulang.

“Jika tempat mereka banjir kembali, mereka masih boleh kembali ke Dewan Malaysia untuk menginap sementara,” katanya ketika dihubungi di sini.

Juzhar berkata rumah-rumah penuntut dari Universiti Trisakti itu sebenarnya tidak terjejas dengan banjir, namun jalan-jalan akses ke rumah mereka yang dinaiki air dan disebabkan masalah itu mereka dipindahkan ke Dewan Malaysia.

Mengenai 38 penuntut Malaysia yang masih menginap di Dewan Malaysia Jakarta, mereka hanya akan dibenar pulang jika keadaan banjir di kawasan penempatan masing-masing dipastikan telah pulih.

Juzhar berkata Universiti Trisakti, di Jakarta Barat, yang turut dilanda banjir, mengisytihar cuti selama seminggu dan kuliah akan hanya disambung pada 28 Jan.

Kejadian banjir di Jakarta, sejak Selasa, sehingga ini meragut 19 nyawa dan sebahagian daripada mereka meninggal dunia disebabkan kejutan elektrik apabila kediaman mereka dinaiki air. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments