Bahasa

Bank Simpanan Nasional lantik pengerusi baru

Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah telah berkhidmat dari tahun 2010 hingga 2012 sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. – Gambar fail Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah telah berkhidmat dari tahun 2010 hingga 2012 sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. – Gambar fail KUALA LUMPUR, 14 Mac — Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelantikan Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah sebagai Pengerusinya menggantikan Datuk Seri Abdul Azim bin Mohd. Zabidi yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun 2009.

Abu Bakar, bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, yang dilantik oleh Menteri Kewangan, akan berkhidmat sebagai Pengerusi BSN untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mac 2013.

Abu Bakar telah memulakan kerjaya beliau pada tahun 1977 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri sebagai Penolong Pengarah perdagangan dalam Negeri, jawatan yang telah dipegang beliau sehingga tahun 1982.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Industri Kereta Motor sehingga 1986. Beliau seterusnya telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan sehingga tahun 2001.

Pada tahun 2001, Abu Bakar telah dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Perancangan Lembah Kelang di bawah Jabatan Perdana Menteri dan tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 2004 telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

Beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada tahun 2007 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia pada tahun 2010.

Pihak pengurusan yakin bahawa Abu Bakar dengan pengalaman beliau yang luas di sektor Kerajaan akan membantu pihak pengurusan mencapai matlamat untuk menjadikan BSN institusi perbankan yang berdaya maju.

Mengenai Bank Simpanan Nasional (BSN) BSN merupakan sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 1 Disember, 1974.

Semenjak penubuhannya, semua tugas dan tanggungjawab di bawah Bank Simpanan Pejabat Pos telah diambil alih oleh BSN.

Misi BSN ialah untuk menggalakkan tabungan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang bijak di kalangan rakyat Malaysia sejajar untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

Kini BSN mempunyai lebih 6,000 orang kakitangan, 397 cawangan, 982 mesin teller automatik (ATM), 255 mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara dan 3,606 Ejen Bank Berdaftar BSN (sehingga 14 Mac 2013) di seluruh negara.

BSN mempunyai lebih 8 juta pelanggan di seluruh Malaysia dengan simpanan runcit berjumlah RM10.4 billion.

BSN telah melaksanakan inisiatif utama melalui proses transformasi dan perubahan baru bagi memastikan ia terus berdaya saing.

BSN akan terus mempertingkatkan perkhidmatan serta memperkembangkan produk-produk perbankan untuk kemudahan pelanggan.

Produk-produk teras BSN termasuklah Pinjaman Persendirian, Pinjaman Perumahan, Pinjaman Mikro Kewangan, Sijil Simpanan Premium, Skim Perbankan Islam, Akaun Simpanan GIRO, Kad Debit BSNMatrix dan BSN Matrix-i dengan kemudahan MEPS, Kad Kredit VISA dan Mastercard.

BSN juga menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan yang merangkumi perubatan, insurans dan penulisan wasiat. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.