Bahasa

Bantah video hina Nabi: Siapa jemput dahulu bukan isu, kata Nasrudin

Oleh Nomy Nozwir
September 19, 2012

Anggota Pembela mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 14 September 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayAnggota Pembela mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 14 September 2012. — Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 19 Sept — Ketua dewan pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, soal siapa jemput dahulu untuk berdemo membantah isu video menghina nabi bukan menjadi isu, sebaliknya beliau berkata sesiapa sahaja boleh turun ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 21 September ini.

Menurut beliau, polemik siapa yang mengajak dahulu ini hanyalah mahu mencari kelebihan politik semata-mata.

“Kami telah umumkan kepada media untuk ke program itu sejak Rabu 12 September yang lalu. Jadi, apa polemiknya?

“Tiba-tiba, Isnin lepas, saya dimaklumkan bahawa pemuda Umno ada mengajak pemuda PAS untuk turun demo sekali, yang saya hanya tahu melalui media.

“Terima kasihlah jemput kami, namun jika tiada jemputan pun, kami memang tetap akan turun pada 21 September ini, kerana kami terlebih awal telah di ‘jemput’ oleh Nabi S.A.W. untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaan Nabi yang dihina sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam.

“Tapi, kalau 17 September baru nak jemput kami, memang terlalu lambat, kerana kami dah uruskan segalanya lebih awal,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya yang dihantar ke The Malaysian Insider hari ini.

Katanya, Dewan Pemuda PAS konsisten dalam membentuk sikap terhadap isu-isu sebegini.

“Tindakan membantah penghinaan ke atas Nabi adalah kewajipan paling minima yang mesti dilakukan, justeru itu ia bukanlah perbuatan yang sia-sia malah menjadi satu amal yang dikurniakan pahala oleh Allah S.W.T.

“Saya sekali lagi menyeru seluruh warga prihatin samada yang beragama Islam mahupun tidak, agar menyertai Himpunan Aman untuk membantah provokasi jahat pihak tertentu yang menghina Islam dan Nabinya di hadapan kedutaan US pada Jumaat 21 Sept ini.

“Fokus pada isu sebenar dengan hadir pada 21 September ini, selepas solat jumaat di Masjid Tabung Haji.

“Sejurus selesai solat, kita berarak ke kedutaan AS. Saya tidak mempunyai cukup masa untuk melayan karenah orang yang nak berebut meja makan sebelum masa kenduri, kalau nak datang, datanglah, kenapa perlu buat bising dan cipta polemik?”

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi