Banyak kes juvana di Kelantan tidak dilapor, kata ketua polis negeri
KOTA BARU, 15 Julai — Ramai ibu bapa di negeri ini tidak melaporkan kesalahan juvana melibatkan anak-anak mereka kerana mahu menjaga nama baik keluarga, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Menyatakan kadar jenayah di kalangan remaja berada di tahap membimbangkan, Jalaluddin berkata beliau kesal dengan sikap ibu bapa dan pihak sekolah yang tidak melaporkan kesalahan berkenaan.
“Dalam pengamatan saya didapati banyak kes jenayah juvana berlaku di negeri ini seperti kes rogol, sumbang mahram dan kecurian dalam keluarga tetapi tidak dilaporkan kerana malu atau untuk menjaga nama baik mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kendiri Program Kesedaran Jenayah di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata sebanyak 186 kes dilaporkan pada 2010 melibatkan kesalahan juvana dan 305 pelajar ditangkap akibat pelbagai kesalahan.
“Kadar berkenaan menunjukkan penurunan kepada 151 kes pada tahun lepas dengan 229 pelajar ditangkap dan sehingga kini sebanyak 68 kes pesalah juvana serta 82 kes melibatkan pelajar,” katanya. — Bernama




