7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Bapa: ‘Badan saya lemah bila tengok anak saya disimbah asid’

August 18, 2011

Wajah Mohd Rafie Abdul Latifff sebelum dan selepas disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali di Kuala Lumpur 8 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Bapa mangsa disimbah asid menolak kejadian dialami anaknya Mohd. Rafie Abdul Latiff, 27, kemungkinan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat adik-beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja.

“Ini turut diakui oleh majikan yang datang melawatnya baru-baru ini. Malah ramai rakan sekerjanya turut memberikan sokongan moral dan bersedih dengan kejadian itu,” kata Abdul Latiff Kassim.

“Saya yakin ia bukan bermotifkan permusuhan dan sebagainya. Ia mungkin dilakukan oleh individu bermasalah,” katanya lagi.

Latiff berkata sebaik menerima berita anaknya disimbah asid, badannya menjadi lemah dan “tak tahu nak buat apa.”

“Sepanjang pengetahuan saya, dia anak yang baik dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa,” kata Latiff dipetik Harian Metro.

Sambil berkata kejadian itu benar-benar mengejutkannya, Latiff berkata, dia sedih kerana tahun ini Mohd Rafie akan menyambut Aidilfitri di hospital.

“Saya harap pihak tidak bertanggungjawab diberi balasan setimpal,” katanya lagi.

Mohd Rafie yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada dalam keretanya di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 8 Ogos lalu.

Mohd Rafie dipetik Utusan Malaysia berkata, semasa insiden dia berada di tempat duduk penumpang dan sedang menunggu seorang  rakannya yang ingin menggunakan tandas awam.

“Seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah saya.

“Mujurlah rakan saya yang mendengar jeritan mengambil air dari tandas dan menyimbah untuk meringankan kesan,” katanya lagi.

Dia sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur di sini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Mohd. Khairun Aseh menggesa kerajaan segera melaksanakan cadangan untuk memperketatkan penjualan asid kepada orang awam bagi mengekang  kejadian simbahan asid yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Katanya, langkah itu wajar dilakukan segera dan sekiranya tidak, lebih ramai khususnya wanita dan kanak-kanak akan menjadi mangsa.

Beliau turut mencadangkan agar hukuman ke atas jenayah simbah asid ditambah bagi menakutkan pelaku.

“Sebagai contoh, satu kes simbah asid di Bangsar baru-baru ini, pesalah dihukum mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa kepada tiga tahun penjara atau denda RM1,000 sahaja.

“Jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan kesan kekal pada anggota badan mangsa yang melecur, hukuman itu terlalu ringan,” katanya.

Khairun memberitahu, sebuah jawatankuasa tabung amanah telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos perubatan Rafie.

Pada 2 Mac lepas di Bangsar, lapan murid tahun enam termasuk empat murid perempuan cedera pada muka dan badan apabila terkena cecair dipercayai asid yang dibaling seorang individu tidak dikenali ketika mereka menunggu van sekolah untuk pulang ke rumah.

Polis kemudian menahan dua lelaki dipercayai suspek kejadian itu bagi membantu siasatan.

Khairun berkata kerajaan juga perlu mewujudkan sistem pendaftaran atau sistem yang merekodkan pembelian dan penjualan asid agar barangan tersebut tidak mudah diperoleh oleh mereka yang tidak bertanggunjawab.

Dalam pada itu, menurut laporan New Straits Times hari ini, seorang graduan lelaki berusia 25 tahun kini terlantar di hospital dan berhadapan dengan kemungkinan separa buta ekoran tindakan disimbah asid awal pagi kelmarin.

Ng Heng Man, yang kini dirawat di Hospital Pantai Cheras, diserang oleh dua lelaki yang menaiki kereta “sports”.