Bahasa

Bapa Saiful Bukhari mengakui kes liwat kedua sebuah konspirasi

Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Saiful, mengakui tuduhan liwat konspirasi. — Gambar oleh Md IzwanAzlan Mohd Lazim, bapa kepada Saiful, mengakui tuduhan liwat konspirasi. — Gambar oleh Md IzwanKUALA LUMPUR, 8 Mac — Bapa kepada Saiful Bukhari Azlan tampil ke hadapan hari ini mengakui kes liwat kedua yang melibatkan anaknya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah “konspirasi politik jahat” untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Azlan Mohd Lazim, 60, dalam satu sidang media tertutup juga mendedahkan kes liwat tersebut telah dirancang rapi oleh seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri sejak awal pendedahan kes liwat kedua tersebut.

“Ini adalah konspirasi politik jahat untuk membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua,” kata Azlan.

“Saya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.Beliau dan keluarganya telah banyak menderita dan sengsara akibat fitnah ini,” tambah beliau.

Azlan yang ditemani oleh dua rakannya juga menolak pengakuan yang dibuatnya hari ini adalah kerana desakan ataupun tekanan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan dengan rela hati.

Apabila ditanya mengapa menunggu hingga hari ini baru tampil untuk membuat pengakuan, Azlan berkata ia adalah kerana selepas membuat penilaian sendiri dan menerusi maklumat yang disampaikan oleh orang terdekat, beliau mula dapat melihat kebenaran disebalik kes melibatkan anaknya tersebut.

“Saya lakukan pendedahan ini kerana setelah sekian lama saya mengumpul maklumat-maklumat sama ada semasa dalam  perbicaraan mahupun yang dikirim kepada saya oleh orang ramai.

“Saya dapati kebenaran mula terserlah dan jelas kelihatan,” terang Azlan.

Menurut Azlan, individu tertentu telah mengambil kesempatan dan mempergunakan anaknya untuk kepentingan politik, sambil  menambah situasi genting ketika itu menyebabkan beliau tidak ada pilihan selain memberikan sokongan kepada Saiful di mahkamah.

“Segalanya dirancang begitu rapi oleh pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri, malahan skrip yang saya baca selepas sidang media  keputusan kes liwat tahun lalu juga disediakan oleh pegawai tersebut.

“Malahan, anak saya (Saiful Bukhari) sendiri tidak pernah menceritakan tentang kejadian (liwat) dan pertuduhan tersebut kepada  saya... saya juga tidak pernah dipanggil menjadi saksi dalam kes tersebut,” terang Azlan ketika memainkan peranan dalam kes liwat  kedua tersebut.

Apabila ditanya sama ada Azlan akan menasihati anaknya, Saiful supaya menarik atau menggugurkan rayuan yang dibuat di  Mahkamah Rayuan, Azlan berkata: “Saya tidak mahu campur tangan ataupun menasihati Saiful untuk menarik balik kes rayuan atau  menggugurkannya, terpulanglah kepadanya untuk meneruskan ataupun tidak”

“...saya tidak mahu komen mengenai kes mahkamah (Mahkamah Rayuan) yang masih berjalan, tapi apa yang saya dedahkan hari ini  adalah pengakuan sukarela saya.”

Sidang media hari ini dijalankan disebuah lokasi tertutup di ibu kota dan wartawan telah dibawa oleh Ahli Parlimen Sungai Petani,  Datuk Johari Abdul untuk bertemu dengan Azlan.

Dalam sidang media tersebut juga, bapa Saiful membaca satu kenyataan yang disediakan olehnya sendiri serta menandatangani kenyataan dua muka surat tersebut.

Kes liwat kedua Anwar bermula setelah  laporan polis dibuat oleh Saiful, bekas kakitangan beliau mendakwa telah diliwat oleh penasihat PKR tersebut.

Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 

Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Walau bagaimanapun, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah atas kes liwat  yang dihadapi oleh beliau.

Namun, pada 20 Januari 2012 Pejabat Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful.

Notis itu yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful akan didengar Julai ini.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.