Bahasa

Bayaran BR1M dibuat Januari hingga Mac

January 06, 2013

IPOH, 6 Jan – Pembayaran beberapa bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 dijangka dibuat dalam tempoh Januari hingga Mac ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata bantuan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), Bantuan Khas Awal Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia.

“Januari kita tumpu kepada bantuan persekolahan yang membabitkan semua sekolah di negara ini. Februari kita akan buat bayaran BR1M 2.0.

“Kemudian kita akan buat pembayaran kepada bekas tentera yang tidak berpencen sebanyak RM1,000. Ini akan diuruskan Kementerian Pertahanan melalui Persatuan Bekas Perajurit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pembayaran Baucar Buku 1Malaysia untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar tingkatan enam dijangka dibuat pada Mac ini.

Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata kemungkinan terdapat bayaran yang perlu dibuat selepas tempoh yang ditetapkan berikutan faktor tertentu.

“Kita tak kata Mac sebagai tarikh akhir bayaran, umpamanya kita ada BR1M, kemungkinan bayaran dibuat lewat kerana permohonan datang lewat.

“Tetapi kita nak pembayaran itu mengikut jangka waktu setiap institusi seperti persekolahan, pelajar masuk Januari, jadi kita nak pastikan Januari dibayar. Bagi IPT pula sebahagian besar masuk pada Mac, jadi kita nak pastikan ia dibayar pada tarikh itu,” katanya.

Beliau berkata tarikh akhir permohonan BR1M 2.0 masih belum ditetapkan.

“BR1M masih terbuka tempohnya (pendaftaran), hanya dulu saya kata kita berharap pendaftaran dapat dibuat sebelum akhir Disember kerana kita nak buat pembayaran pada Februari,” katanya.

Beliau berkata semua pembayaran akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan dan mesyuarat penyelarasan pembayaran akan diadakan Selasa ini bagi menentukan tarikh setiap pembayaran tersebut. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi