Beberapa lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan sesak
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Keadaan trafik di beberapa lokasi arah utara dan selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dilaporkan sesak petang ini.
Jurucakap PLUSLine ketika dihubungi Bernama berkata bagi laluan ke utara, pertambahan bilangan kenderaan serta beberapa kemalangan kecil menyumbang kepada keadaan tersebut.
Beliau berkata antara laluan yang dilapor bergerak perlahan ialah dari Slim River menuju ke Bidor, Tapah menghala ke Gopeng, dari Plaza Tol Sungkai menghala ke utara dan Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru.
Di selatan, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Nilai menghala ke Seremban.
“Trafik bergerak perlahan disebabkan orang pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu dan cuti sekolah serta berlaku beberapa kemalangan kecil,” kata jurucakap itu.
Pihak PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim cuti persekolahan ini. – Bernama




