Bahasa

Bekas ketua cabang PKR Rantau Panjang saman Etiga Takaful RM10 juta

September 07, 2012

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Bekas ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Mohammad Agos Mohd Noor, memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap syarikat insurans Etiqa Takaful Berhad kerana didakwa menggantung jawatannya sebagai Pengurus Agensi Kumpulan syarikat itu secara salah. 

Beliau memfailkan saman itu pada 10 Ogos di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Amir Khusyairi & Associates dengan menamakan Etiqa Takaful Berhad sebagai defendan.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Yeoh Wee Siam. Peguam Amir Khusyairi Mohammad Tasni mewakili Mohammad Agos manakala peguam Norazmi Norazman mewakili syarikat insurans itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohammad Agos mendakwa beliau telah dilantik oleh Etiqa Takaful pada 1 Julai 2003, bagaimanapun digantung perkhidmatannya sebagai ejen dan pengurus agensi kumpulan kepada syarikat itu atas alasan terlibat dengan kes rasuah mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata melalui surat penjanjian Pengurus Agensi, Penjanjian Takaful Keluarga dan Perjanjian Pengurus Kumpulan tidak memberi kuasa kepada syarikat tersebut untuk menggantungnya sebagai ejen dan sebagai Pengurus Agensi Kumpulan.

Mohammad Agos, 53, mendakwa penggantungan tersebut dilakukan secara salah, tidak teratur dan tidak sah.

Beliau mendakwa tindakan kes jenayah terhadap dirinya telah selesai selepas Hakim Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan rasuah pada 2 Nov 2011.

Mohammad Agos memohon ganti rugi am, faedah sebanyak lima peratus setahun, ganti rugi teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, seorang lagi ejen insurans syarikat yang sama turut memfailkan saman yang berlainan berjumlah RM10 juta terhadap syarikat Etika Takaful itu atas dakwaan menamatkan perkhidmatannya secara salah, tidak teratur dan tidak sah.

Noordeena Razali, 40, yang turut diwakili peguam Amir Khusyairi, mendakwa perkhidmatannya ditamatkan pada 28 Mac 2011 atas alasan beliau telah melanggar peraturan syarikat itu.

Noordeena menuntut ganti rugi am, faedah sebanyak lima peratus setahun, ganti rugi teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mahkamah menetapkan kedua-dua kes itu untuk pengurusan kes pada 16 Okt ini. — Bernama 

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi