Bahasa

Bekas Mufti Perlis mungkin bertanding PRU 13

Oleh Md Izwan
February 15, 2013

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Khabar angin mengatakan Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bakal bertanding pada Pilihan Raya 2013 semakin menjadi kenyataan apabila beliau mengakui ada berbincang dengan parti politik dan memberi tempoh hingga akhir Februari ini sebelum memberi keputusan penuh.

Menurut laporan oleh akhbar Sinar Harian hari ini, Mohd Asri (gambar) berkata telah menerima tawaran dan didekati daripada kedua-dua belah parti politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Perbincangan memang ada... dalam tempoh satu dua minggu ini, saya akan beritahu,” kata beliau seperti dilapor Sinar Harian.

Apabila ditanya kawasan dan negeri manakah beliau bakal bertanding, Mohd Asri masih lagi mengambil pendirian untuk merahsiakan perkara yang dibangkitkan titu.

“Saya tidak boleh kata apa-apa lagi, tunggu seminggu dua lagi...” kata beliau lagi.

Selain nama Mohd Asri yang dikatakan antara calon pada pilihan raya nanti, Mufti Perlis ketika ini Dr Juanda Jaya juga dikatakan menerima tawaran dan pelawaan daripada parti politik untuk bertanding namun tiada sebarang keputusan rasmi diumumkan hingga sekarang ini.

Mohd Asri yang ketika ini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) disebut-sebut akan bertanding di Pulau Pinang dan dikatakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sebelum diangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 sekiranya PR masih mengekalkan negeri tersebut.

Manakala Juanda, anak kelahiran Sarawak, dipercayai akan diletakkan di Perlis bagi kerusi Parlimen.

Pilihan Raya 2013 perlu diadakan selepas mandat kerajaan BN tamat pada penghujung April.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri menjadi rebutan dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah.

Setakat ini, hanya negeri Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi