Bahasa

Bekas pengerusi Gerak mohon maaf kepada Khalid

SHAH ALAM, 1 Jun — Kes saman fitnah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) terhadap bekas Pengerusi Gerak Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus, selesai semalam apabila Menteri Besar Selangor itu menerima permohonan maaf Mohd Nazree di Mahkamah Tinggi di sini.

Kenyataan permohonan maaf secara terbuka yang dibacakan Mohd Nazree itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid.

Terdahulu, Mohd Nazree, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan ketika membacakan kenyataan dalam bahasa Malaysia berkata beliau memohon maaf kepada Abdul Khalid atas kenyataan yang diberikannya selaku Pengerusi Gerak Malaysia pada sidang media bertarikh 21 Jan 2009 dan 3 Feb 2009.

“Saya mengaku amat menyesal kerana membuat kenyataan akhbar yang tidak benar terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah terhadap plaintif (Abdul Khalid) pada masa akan datang,” katanya.

Di awal prosiding, peguam S.N Nair, yang mewakili Abdul Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak defendan (Mohd Nazree) akan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah.

Selain permohonan maaf, defendan yang diwakili peguam Nurul Atikah Chut Jais juga perlu menyiarkan kenyataan permohonan maaf itu di dalam akhbar Sinar Harian dengan ukuran 15cm x 18cm dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman hari ini.

Abdul Khalid memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Nazree pada 24 Mac 2009 yang mendakwa Menteri Besar Selangor itu telah menggunakan wang kerajaan negeri bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 pada Hari Raya Korban tahun itu untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Beliau memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan juga injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa bahawa kenyataan itu menjejaskan reputasinya dari segi politik dan jawatannya di dalam kerajaan negeri tanpa defendan membuat semakan terhadap kebenaran di dalam kenyataan yang dikeluarkannya.

Mohd Nazree dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 25 Jun 2009 berkata kenyataan yang dibuatnya adalah berasas dan berdasarkan bukti yang kukuh dalamnbentuk dokumen atau apa pun bentuk lain dan defendan akan membuktikan ketikanperbicaraan di mahkamah nanti.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Abdul Khalid berkata beliau menerima kenyataan maaf Mohd Nazree yang sanggup mengakui kenyataan beliau terhadapnya adalah tidak benar. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.