Bahasa

Bekas pengerusi SPR cadangkan pendaftaran pemilih berkos RM50 juta setiap 3 tahun untuk elak keraguan

Menurut Abdul Rashid, jumlah RM50 juta bukan satu kadar yang besar bagi memastikan semua pihak berpuas hati terhadap perjalanan pilihan raya di Malaysia. – Gambar failMenurut Abdul Rashid, jumlah RM50 juta bukan satu kadar yang besar bagi memastikan semua pihak berpuas hati terhadap perjalanan pilihan raya di Malaysia. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar daftar pemilih disediakan setiap tiga tahun sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) bagi menghilangkan kerisauan sesetengah pihak yang menganggap daftar pemilih sebagai tidak bersih.

“Jadi saya cadang begini. Lebih baik kita daftar tiga tahun selepas pilihan raya, kita daftar semula. Tapi kita perlukan RM50 juta,” katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Menurut Abdul Rashid, jumlah RM50 juta bukan satu kadar yang besar bagi memastikan semua pihak berpuas hati terhadap perjalanan pilihan raya di Malaysia.

“Kacang sahaja bagi negara ini RM50 juta setahun, kita cakap soal bilion-bilion. Macam bancian, kita buat cara itu.

“Sebab itu saya kata, tiap-tiap tiga tahun selepas pilihan raya, supaya bilangan ini, orang yang tidak ada di situ, namanya ada tetapi tidak ada di situ, akan jadi minimum, paling kurang.

“Kalau dia pindah pun, orang masih kenal dia. Masalah sekarang ini, dia pindah, orang tak kenal dia. Sebab dia pindah, alamat dalam kad pengenalan dia, alamat rumah sewa. Sudah bertukar tangan dekat 50 orang mana orang nak kenal. Jadi ini masalah,” katanya.

Menurut Abdul Rashid yang pernah berkhidmat selama 27 tahun bersama SPR itu lagi, selagi keadaan sekarang terus dibiarkan, keraguan pihak-pihak tertentu akan berterusan termasuk parti politik yang kurang modal.

“Dan parti-parti politik yang modal politiknya sikit, akan menggunakan isu pengundi hantu sebagai isu untuk meraih simpati dan yang tidak sedapnya, dia tuding jari kepada SPR,” katanya lagi.

PRU ke 13 perlu diadakan selewat-lewatnya selepas mandat Barisan Nasional (BN) tamat pada penghujung bulan April 2013.

Oktober lalu di parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahun parlimen SPR akan melaksanakan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya pada PRU akan datang.

Dari 32 cadangan yang dibuat oleh PSC, hanya enam sahaja yang tidak akan dilaksanakan kerana melibatkan kos tambahan, kata menteri di jabatan perdana menteri dalam respon kepada Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow.

“Setakat yang kita tahu, Dewan Rakyat telah meluluskan sepuluh tuntutan pada Disember 2011 dan 22 lagi pada April 2012.

“SPR telah memberitahu kita bahawa kesemua cadangan sedang dan akan dilaksanakan. Daripada 32, hanya enam sahaja yang tidak dilaksanakan kerana mengikut undang-undang dan kos yang tinggi,” kata Nazri lagi.

Bagaimanapun, Nazri berkata itu tidak bermakna SPR tidak akan melaksanakan enam cadangan tersebut pada masa akan datang.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.