Bahasa

Bendera dan keselamatan pengguna jalan raya

May 02, 2013

Saban hari semakin banyak poster, kain rentang dan ‘bunting’ digantung dan dicacak di tepi-tepi jalan raya dan sekitar kawasan perumahan, baik di bandar mahupun luar bandar. - Gambar failSaban hari semakin banyak poster, kain rentang dan ‘bunting’ digantung dan dicacak di tepi-tepi jalan raya dan sekitar kawasan perumahan, baik di bandar mahupun luar bandar. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 2 Mei — Bahang kehangatan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Ahad ini (5 Mei) semakin dirasai.

Saban hari semakin banyak poster, kain rentang dan ‘bunting’ digantung dan dicacak di tepi-tepi jalan raya dan sekitar kawasan perumahan, baik di bandar mahupun luar bandar.

Matlamatnya hanya satu, untuk mengingatkan rakyat Malaysia akan parti-parti yang bertanding pada pilihan raya itu selain memperkenalkan calon-calon yang bakal menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen sekiranya calon-calon ini menjadi pilihan rakyat nanti.

Poster dan ‘bunting’ yang diletakkan di tempat awam ini juga untuk mengingatkan warga Malaysia akan tanggungjawab mereka untuk keluar beramai-ramai dan mengundi pada 5 Mei nanti.

JALAN RAYA

“Saya rasa macam nak alihkan bendera parti yang dicacakkan di simpang jalan, bahaya betul.

“Sudah dua kemalangan berlaku di simpang itu kelmarin, sampai yang satu itu keretanya masuk ke dalam parit di seberang jalan. Sungguh berbahaya!” jelas Elisa Taufik seorang pemandu yang tinggal di Kelana Jaya baru-baru ini.

Menurut Elisa lagi, suaminya ada bercadang untuk mencabut dan mengalihkan tiang-tiang itu, yang dicacak di sudut yang membahayakan, pada sebelah petang selepas waktu pejabat nanti.

Kemudian kawan Elisa tiba-tiba mencelah dan menasihatkannya agar tidak mengalihkan tiang-tiang itu secara sendiri tetapi menelefon pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasannya untuk membuat aduan.

Menurut kawannya itu, kalau aduan disampaikan kepada PBT mengenai bendera yang mengancam penglihatan pemandu di jalan raya, penguatkuasa akan datang untuk menangani masalah berkenaan pada hari itu juga.

POSTER, BUNTING

“Bukannya nak dialihkan kesemuanya, tetapi yang menghalang penglihatan pengguna jalan raya itu sahaja, untuk elak kemalangan yang boleh meragut nyawa sahaja.

“Ada poster dan ‘bunting’ yang diletakkan di atas pembahagi jalan secara rapat-rapat. Itu yang mendatangkan mudarat,” tambah Elisa.

Ada juga pemandu yang merasakan bendera yang semakin banyak digantung dan dicacakkan di bahu-bahu jalan boleh mengganggu perhatian mereka ketika memandu.

Mungkin itulah yang menyebabkan beberapa kemalangan kecil berlaku akibat pemandu tiba-tiba bergesel atau melanggar kereta di depan mereka.

KESELAMATAN

Pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, (JKJRWPKL) mengesahkan isu penggantungan kain rentang, bendera dan ‘bunting’ terletak di bawah kawalan PBT masing-masing seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Muhammad Heeza Hassan, Pengarah JKJRWPKL, memberitahu Bernama, keselamatan orang ramai perlu diutamakan apabila sebarang kain rentang atau poster ingin diletakkan berdekatan simpang jalan dan di atas bahu jalan.

“Sememangnya PBT mempunyai kuasa untuk menurunkan sebarang bendera atau poster yang diletakkan di kawasan seliaan mereka. 

“Saya menasihatkan semua parti yang memasang kain rentang atau poster parti masing-masing agar memastikan ia tidak menghalang penglihatan pengguna jalan raya terutama di papan tanda dan lampu isyarat,” jelas Muhammad Heeza.

PERATURAN

Semasa pengundian awal bagi pengundi luar negara baru-baru ini, perang poster tidak begitu ketara jika dibandingkan dalam negara tetapi ada juga kenderaan yang dijadikan tempat menggantung dan mempamerkan bendera-bendera parti yang disokong dan yang bertanding pada PRU13 kali ini.

Ini turut berlaku di kotaraya London.  Kelihatan kenderaan-kenderaan yang dihiasi bendera parti yang bertanding diletakkan berhampiran pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London tanpa mendatangkan sebarang ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.

Di samping itu bendera yang dibawa untuk dipamerkan pada hari pengundian awal tidak mendatangkan mudarat kepada keselamatan mana-mana pihak, kata Ahmad Dzuhair Hanafiah, mantan pengerusi Umno London dan profesional muda yang turut menjadi ketua pondok Barisan Nasional di London semasa proses pengundian itu berlangsung.  – Bernama 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi