Bahasa

Berita baik penjawat awam bukan ‘buah tangan’ hadapi PRU-13 — Ali Hamsa

PUTRAJAYA, 11 Mac — Berita baik untuk penjawat awam yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 (MPPA XIII) bukan satu “buah tangan” untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sebaliknya kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa (gambar), semua yang diumum Perdana Menteri itu adalah hasil rundingan untuk menambah baik sector perkhidmatan awam yang dilakukan sepanjang tahun lepas dan diluluskan kerajaan.

“Jangan salah tafsir...ini mungkin disebabkan ada pihak yang suka melihat sesuatu dari aspek negatif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri MPPA XIII, di sini hari ini.

Kira-kira 9,000 penjawat awam menghadiri MPPA XIII yang bertema ‘Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.

Mengulas lanjut, Ali berkata MPPA merupakan tempat yang sesuai untuk mengumumkan perkara sedemikian kerana acara tahunan itu mengumpulkan pegawai awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa berita baik membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga Perkhidmatan Awam Am.

Sementara itu, Ali berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji semua 87 elaun yang diberi kepada penjawat awam untuk tujuan penambahbaikkan.

“Menjelang hujung November atau Disember nanti kita boleh mengumukan perkara-perkara ini,” katanya.

Selain itu katanya JPA juga akan mencadangan kepada kerajaan agar diadakan   skim perumahan khas kepada penjawat awam yang menggabungkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Langkah itu bagi membolehkan pegawai muda memiliki kediaman di bandar besar namun pada masa ini tidak mampu kerana kenaikan harga rumah, katanya.

“Selain itu, kita boleh menambah kuarters kerajaan di tempat-tempat yang diperlukan,” katanya.

Pada masa sama Ali berkata paradigma baharu dalam konteks transformasi negara menuntut supaya perkhidmatan awam menjadi lebih anjal atau fleksibel dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata perkhidmatan awam negara perlu sentiasa berorientasikan  kepada kehendak rakyat yang sentiasa berubah pantas, selari dengan gaya hidup, tahap pembangunan sosio-ekonomi negara dan globalisasi.

“Perkhidmatan awam tidak boleh duduk dalam zon selesa kerana ia tidak akan membawa kepada kecemerlangan, warga perkhidmatan awam perlu mempamer sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko dalam meneraju jabatan ke tahap prestasi lebih tinggi.

“Kami akan sentiasa memberi sokongan supaya wujudnya sinergi usaha dan hasrat dalam menjayakan misi serta tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara demi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ali bagi pihak perkhidmatan awam turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga lapan anggota keselamatan negara yang terkorban semasa berjuang mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, baru-baru ini.

“Kita menyanjung tinggi perjuangan dan pengorbanan wira negara, dan untuk itu dalam majlis ini Tabung Wira Negara akan dilancarkan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menasihati para penjawat awam agar tidak terlibat dalam penyebaran berita-berita palsu berkaitan insiden itu,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.