7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Bersih 2.0: Inkuiri Suhakam lawat lokasi Mat Sabu dilanggar 22 November

November 16, 2011

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Jawatankuasa Inkuiri Awam Suhakam hari ini memutuskan untuk melawat kawasan Bukit Persekutuan - lokasi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) mendakwa beliau dilanggar oleh kereta anggota polis semasa perhimpunan Bersih 2.0.

Pengerusi inkuiri Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee memutuskan lawatan pada 22 November ini bertujuan mendapatkan gambaran sebenar keadaan persekitaran lokasi insiden.

“Kita akan membuat lawatan ke kawasan Bukit Persekutuan bagi melihat sendiri keadaan kawasan tersebut,” katanya sejurus selesai saksi kedua inkuiri memberi kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, lawatan itu perlu kerana pihaknya memerlukan gambaran yang tepat berkenaan kawasan tersebut.

Inkuiri hari ini menyaksikan ASP Kamal Khan Mohd Shariff, selaku saksi Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Mohd Zulkifli Abd Halim, penunggang motosikal yang dibonceng Mohamad dipanggil memberikan keterangan.