Bahasa

Bersih mahu orang ramai jadi ‘pemantau’, saksi penipuan PRU 13

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

December 17, 2012
Latest Update: December 18, 2012 12:32 am

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merancang untuk mengundang lebih ramai “pemantau orang ramai” pada pilihan raya akan datang.

Kumpulan tersebut menubuhkan “Jom Pantau” dan “Jom 100”, tetapi pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) berkata hari ini kempen tersebut akan diperluas pada Januari ini untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

Aktivis dan peguam itu berkata pilihan raya tidak akan bersih mengikut  apa yang Bersih 2.0 mahukan dan cara terbaik ialah pihak berkuasa sentiasa memeriksa peningkatan pengundi dan menggaji orang awam untuk memantau sebarang masalah pada hari pilihan raya.

“Adakah kita dapat melihat perubahan sebenar sebelum pilihan raya? Jawapannya, tidak,” katanya dalam sidang media bersama ahli jawatankuasa Bersih 2.0 di sini.

“Apa yang kami boleh lakukan ialah kami akan pastikan pilihan raya akan menjadi bersih dan adil,” katanya lagi.

Ambiga menerangkan “Jom 100” adalah usaha Bersih 2.0 menggalakkan pemilih untuk keluar mengundi pada hari pilihan raya.

Beliau berkata Bersih 2.0 berharap sekurang-kurangnya 85-90 peratus dari 13 juta pengundi seluruh negara akan mengundi.

Pilihan raya yang dijangka bakal menjadi persaingan sengit antara gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang, yang akan bertanding pertama kali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

“Jumlah pengundi yang ramai dapat meminimakan atau mengawal penipuan dari berlaku secara berleluasa,” kata Ambiga.

Di bawah “Jom Pantau”, pemimpin masyarakat sivil itu berkata, beliau berharap Bersih 2.0 dapat membawa “pemantaunya sendiri”, terutama di kawasan parlimen tertentu bagi memantau sebarang perkara yang diragui semasa hari mengundi.

“Mereka akan bekerja di bawah dan melaporkan kepada kami. Kami mahu memastikan pilihan raya ini bersih dan adil, itu sahaja,” katanya lagi.

Ambiga berkata, rancangan Bersih 2.0 datang dari kekecewaan walaupun banyak menggerakkan usaha selama beberapa tahun ini, namun kerajaan dan usaha perubahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih tidak mencukupi.

Beliau kemudian mendakwa SPR “tidak ikhlas”, dengan mengatakan baru-baru ini mereka menubuhkan jawatankuasa khas untuk membersihkan daftar pemilih.

“Saya rasa kamu semua tahu membersihkan daftar pemilih adalah yang paling penting.

“Tetapi pengerusi SPR sendiri pada April mendakwa daftar pemilih di Malaysia adalah yang paling bersih di dunia.

“Tetapi setelah sekian lama, akhirnya SPR menyediakan unit khas untuk membersihkan daftar pengundi,” katanya.

Ambiga mengatakan usaha ini hanya sia-sia jika tidak ada wakil dari parti politik atau badan masyarakat dijemput untuk pembersihan nama daftar pemilih.

Ambiga mendakwa SPR gagal untuk memenuhi tuntutan Bersih 2.0, seperti memberikan akses media yang adil dan bebas serta membenarkan pemantau antarabangsa

“Kita tidak seharusnya mengundi calon yang menyokong politik ganas dan menyuruh kita untuk berhenti bersuara.

“Apa yang penting untuk kita perhatikan politik ganas adalah petanda pilihan raya tercemar, penyakit yang lebih teruk, bakal kita lalui,” katanya lagi.

Bersih 2.0, gabungan 82 buah badan bukan kerajaan, mengadakan perarakan kedua untuk menuntut pilihan raya sejak 2007 pada 9 Julai tahun lalu, mendapat perhatian antarabangsa apabila terdapat keganasan dan huru hara di media luar.

Untuk mengelakkan pandangan negatif, pentadbiran Najib meluluskan Akta Perhimpunan Aman.

Tetapi perubahan itu tidak diterima Bersih 2.0 dan perhimpunan ketiga, Bersih 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.

Perhimpunan “duduk bantah” yang dirancang aman, bagaimanapun bertukar menjadi ganas apabila puluhan ribu orang ramai bertempur dengan polis selepas hadangan di hadapan Dataran Merdeka dipecahkan.

Polis sebelum itu membuat halangan kawat dawai dan plastik serta hadangan dari besi di sekeliling kawasan tersebut untuk menghalang peserta dari masuk ke Dataran Merdeka.

Beberapa laporan dibuat mendakwa polis terlibat dengan keganasan, dan kerajaan dikritik kerana gagal menangani acara yang sepatutnya berjalan secara aman tersebut.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi