Bahasa

Bersih nafi NGO asing biaya himpunan 9 Julai

Ambiga Sreenevasan dan A Samad Said ditemu bual oleh wartawan selepas kedua-dua mereka disoal siasat oleh polis hari ini. – Foto oleh Choo Choy MayAmbiga Sreenevasan dan A Samad Said ditemu bual oleh wartawan selepas kedua-dua mereka disoal siasat oleh polis hari ini. – Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 27 Jun – Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini kononnya perhimpunan anjuran mereka pada 9 Julai ini dibiayai oleh pertubuhan-pertubuhan Kristian luar negara.

Sebaliknya kata beliau, sumber kewangan bagi membiayai Himpunan Bersih 2.0 datang daripada rakyat Malaysia di dalam dan luar negara.

“Dana bagi perhimpunan datang daripada derma awam dan hasil jualan kemeja-T Bersih... saya tidak pernah mendengar kumpulan (asing) itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi selepas disoal siasat oleh polis berhubung Himpunan Bersih 2.0 anjuran mereka, yang turut mencetuskan perhimpunan balas yang akan diadakan oleh Perkasa dan Pemuda Umno pada tarikh yang sama.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor juga menjanjikan sumber kewangan bagi Himpunan Bersih 2.0.

Utusan Malaysia mendakwa gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian, yang berpangkalan di luar negara, dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada Bersih.

Laporan itu mendakwa gerakan tersebut yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa minggu lalu dikesan aktif menyalurkan bantuan kepada Bersih melalui NGO tempatan.

Kata Utusan Malaysia, antara NGO terbabit ialah Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman yang mempunyai hubungan erat dengan Parti Kesatuan Kristian Demokratik di negara itu dan  Yayasan Canadian Allied dari Kanada.

Kedua-dua NGO tersebut, menurut Utusan Malaysia, kini dikesan berada di carta ‘tiga teratas’ selaku penyumbang berbanding beberapa lagi pertubuhan asing lain, yang mewakili sembilan negara berlainan.

Bagaimanapun Ambiga mengakui bahawa Bersih menerima sejumlah kecil sumbangan daripada dua organisasi Amerika Syarikat iaitu National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) bagi projek-projek lain, yang tiada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

NDI menggambarkan pihaknya sebuah pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan dan berkecuali, yang bekerja untuk menyokong dan memperkukuhkan institusi demokratik di seluruh dunia menerusi penyertaan rakyat, keterbukaan dan akauntabiliti dalam kerajaan.

Dalam pada itu, seorang ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah menjelaskan bahawa dana bagi NDI dan OSI adalah khusus untuk kerja-kerja pemantau pilihan raya berkaitan projek persempadanan bahagian pilihan raya.

“Ia tidak kaitan dengan perarakan. Dana datang daripada sumbangan awam. Kebanyakan adalah dari rakyat Malaysia di luar negara. Ramai yang memberi sumbangan tanpa memaklumkan identiti mereka ke dalam akaun bank kami,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Menurut Chin Abdullah, dana Himpunan Bersih 2.0 setakat ini telah mencecah RM30,000 tetapi menambah kumpulan itu perlu menambah angka itu bagi membayar kos kempennya, termasuk program jelajah di seluruh negara dan setiap kemeja-T berharga RM15.

Katanya, kerajaan negeri Selangor hanya membuat janji lisan dan setakat ini belum menerima sebarang duit daripada mereka.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.