Bahasa

Bersih tetap akan berlangsung di Dataran Merdeka

Oleh Mohd Farhan Darwis dan Shazwan Mustafa Kamal
April 22, 2012

KUALA LUMPUR, 22 April — Bersih 3.0 akan tetap dilakukan di Dataran Merdeka kerana masa untuk menukar lokasi semakin suntuk,” jelas Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini.

Pengerusi Bersama Bersih ini berkata kepada The Malaysian Insider, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) “tiada asas” menolak permohonan Bersih untuk melaksanakan perhimpunan di sana, malah akan bekerjasama dengan polis dan DBKL untuk perhimpunan Sabtu ini.

“Secara jujurnya saya percaya tiada bantahan untuk menggunakan Dataran Merdeka dan kami akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa supaya perhimpunan itu nanti berjalan lancar, termasuklah DBKL.

“Saya tiada mandat untuk mengubah lokasi berkenaan tanpa perundingan dengan NGO lain,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas.

“Kami akan berbincang dengan mereka tapi masalahnya kami kesuntukan masa,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bersamanya,  Datuk A. Samad Said berkata, pihaknya tetap mahukan perhimpunan itu dijalankan di Dataran Merdeka, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberikan kebenaran untuk mereka berhimpun di lokasi bersejarah tersebut.

“Kita tetap mahukan Dataran Merdeka, saya akan berbincang dengan Ambiga (gambar) tentang lokasi perhimpunan, tapi kami tetap mahu Dataran Merdeka,” kata Sasterawan Negara itu ketika Konvensyen Hala Tuju Felda si sini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini berkata, pihaknya sedia membantu Bersih mendapatkan lokasi lain bagi menggantikan dataran berkenaan untuk dijadikan lokasi alternatif perhimpunan “Duduk Bantah” mereka.

Beliau menegaskan kumpulan pemerhati politik tanah air itu harus diberikan kebenaran untuk mengadakan “perhimpunan aman” dan kerajaan telah menyatakan perhimpunan itu bukanlah “ancaman kepada negara”.

“Mereka (DBKL) tidak membenarkan mereka menggunakan Dataran Merdeka tapi saya yakin mereka akan dibenarkan untuk berhimpun, dan saya percaya DBKL ada lokasi alternatif di mana-mana lokasi,” katanya kepada pemberita di sini.

“Kami bersetuju untuk tidak menghentikan perhimpunan aman itu, tapi bukan kuasa saya untuk untuk mengatakan DBKL akan membenarkannya,” kata Hishamuddin.

Hishamuddin berkata, pihaknya sedia membantu Bersih untuk membuat pilihan sama ada Stadium Merdeka atau Stadium Bukit Jalil sebagai lokasi alternatif perhimpunan 28 April ini.

“Jangan melihat perhimpunan aman itu sebagai ancaman negara, dan saya akan semak sama ada Bukit Jalil ataupun Stadium Merdeka (jika diperlukan) dengan pihak berkuasa.

“Saya boleh membantu termasuk (mendapatkan) Stadium Merdeka yang mana pihak penganjur telah membuat permohonan sebelum ini,” kata Hishamuddin merujuk kepada permohonan Bersih pada perhimpunan 9 Julai lalu.

Namun begitu, Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan berjumpa dengan jawatankuasa Bersih bagi membincangkan perkara itu dan pengumuman akan dibuat Selasa ini.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang kata putus, NGO (Bersih) akan berbincang malam esok. Kami akan membuat pengumuman Selasa depan.

“Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis pada jam 3 petang esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk berbincang berkenaan laluan trafik dan keselamatan pada 28 April ini,” katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi