Bahasa

Bilik gerakan BN di Sekinchan dilempar bom petrol

SHAH ALAM, 24 April — Bahagian depan bangunan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Parit 9, Baroh, Sungai Leman, Sekinchan dekat sini, terbakar setelah dipercayai dilempar dengan dua bom petrol oleh orang tidak dikenali pagi ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor SAC Hasanuddin Hassan berkata kejadian itu disedari pada pukul 4 pagi oleh penduduk kampung yang terus memaklumkan kepada pemilik bangunan itu yang didirikan atas tanah persendirian.

"Siasatan awal pihak polis mendapati ada unsur khianat apabila menemui dua botol kaca yang dipercayai diisi petrol di tempat kejadian. Kemungkinan pihak terbabit cuma lalu di hadapan bangunan itu dan baling 'bom petrol' itu memandangkan jarak antara bangunan itu dengan jalan raya adalah kira-kira empat meter sahaja.

"Kebakaran tidak serius cuma beberapa peralatan milik BN seperti bendera dan banner turut terbakar. Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur pecah masuk di bangunan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. Hasanuddin berkata tiada saksi yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan sebelum kejadian itu dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. Sehubungan itu Hasanuddin menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam PRU13, terutamanya calon yang bertanding, supaya memaklumkan kepada penyokong masing-masing agar tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan harta benda atau nyawa manusia.

"Jika kita jalankan siasatan dan dapati ada pihak tertentu yang terlibat, kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada. Kalau melibatkan kehilangan nyawa, kes boleh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. "Tidak ada gunanya kalau menang (dalam pilihan raya) tetapi kemenangan itu disebabkan perbuatan keji kerana negara kita mempunyai undang-undang ," katanya.

Hasanuddin berkata sejak hari penamaan calon pada 20 April lepas hingga hari ini, pihaknya telah membuka siasatan terhadap 44 kes kecil berkaitan pilihan raya seperti mencabut dan mematahkan tiang bendera parti dan membakar serta mengoyakkan bendera parti. Polis juga menerima 14 laporan berhubung ceramah politik yang diadakan tanpa permit. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.