Bahasa

BN akan berusaha habis-habisan pertahan Sabah pada PRU akan datang, kata Muhyiddin

November 21, 2012

KOTA KINABALU, 21 Nov — Barisan Nasional (BN) akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan Sabah pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau (gambar) berkata ada pihak tersalah faham dengan menyifatkan Sabah sebagai ‘deposit tetap’ BN, sedangkan sebenarnya negeri ini sama pentingnya dengan negeri lain.

“Sabah sangat penting bagi kita (BN). Kita tidak boleh kehilangan Sabah. Kita perlu pertahankannya dengan sedaya upaya,” katanya pada majlis sarapan pagi dengan anggota Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan veteran Umno di sini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Muhyiddin melahirkan harapan agar Mubarak akan terus memainkan peranannya untuk membantu kerajaan BN melaksanakan dasar dan program pembangunan dengan sering turun padang untuk merapatkan lagi hubungan dengan rakyat, terutama di peringkat akar umbi.

“Walaupun sekarang anda (anggota Mubarak) ada banyak masa untuk bersama keluarga, tapi saya percaya ingin terus berkhidmat kepada rakyat dengan sedapat mungkin dan kerajaan menghargai serta mengucapkan terima kasih atas usaha murni anda ini.

“Saya yakin anda terus mengikuti perkembangan politik semasa dan bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. BN sudah berkhidmat kepada rakyat selama lebih 50 tahun dan rakyat semakin meyakini kita. Oleh itu, kita tidak boleh menghampakan mereka sekarang,” katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan Mubarak bahawa kini rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan berikutan kemajuan teknologi komunikasi maklumat.

“Ada orang yang menjanjikan bulan dan bintang. Mubarak boleh memainkan peranannya dalam menangkis pembohongan dan janji kosong itu agar ia tidak memberi kesan negatif terhadap rakyat.

“Kita sedar kita dipilih oleh rakyat. Oleh itu, sambil mengajak rakyat menghakimi kita, kita juga perlu pastikan kita memberi yang terbaik kepada mereka agar mereka terus menyokong kita dan memberi kemenangan kepada kita pada pilihan raya kelak,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi