Bahasa

BN letak lebih ramai muka baru, gugurkan beberapa menteri

Oleh Jahabar Sadiq dan Syed Jaymal Zahiid
April 15, 2013

The Malaysian Insider difahamkan BN akan meletakkan 50 peratus muka baru di 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum 5 Mei. - Gambar failThe Malaysian Insider difahamkan BN akan meletakkan 50 peratus muka baru di 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum 5 Mei. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 15 April — Barisan Nasional (BN) akan meletak ramai muka baru dalam menghadapi pilihan raya paling sengit kali ini, di samping beberapa menteri digugurkan antaranya Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kata satu sumber.

The Malaysian Insider difahamkan BN akan membariskan muka-muka baru sebanyak 50 peratus daripada 505 kerusi negeri yang dipertandingkan dan satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen untuk menghadapi pilihan raya umum 5 Mei ini.

Menurut sumber, perubahan calon BN ini adalah yang paling drastik dalam sejarah sejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan mandatnya pada 1982.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menulis di akaun Twitternya dengan berkata “1/3 calon Parlimen dan 50% calon DUN BN adalah muka baru.”

Dalam pada itu, parti komponen BN akan membuat pengumuman senarai calon hari ini manakala pengerusi perhubungan negeri pula akan mengumumkan senarai penuh pada esok hari.

Sebelas peratus daripada calon BN pada Pilihan Raya 2013 adalah wanita, kata sumber lagi.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini menyerahkan senarai penuh calon kepada parti komponen dan pengerusi perhubungan negeri parti pagi ini.

“Senarai kita miliki hari ini adalah senarai yang terbaik yang kami sediakan. Ia adalah satu proses yang melibatkan beberapa perbincangan dengan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri.

“Kami mengambil kira sentimen pengundi atau harapan perubahan dalam senarai Barisan Nasional barisan, oleh itu bagi kerusi Parlimen kita telah menyenaraikan kira-kira 33 peratus muka baru.

“Di peringkat negeri, bilangan muka-muka baru adalah 49 peratus. Ini adalah untuk memenuhi permintaan daripada pengundi bahawa BN dan Umno bersedia untuk perubahan,” kata Najib pada sidang akhbar selepas menyerahkan senarai calon di ibu pejabat Umno di sini.

Langkah yang diambil oleh presiden Umno ini ekoran kritikan “terlalu banyak pemimpin sudah luput” dalam Kabinet dan gesaan supaya presiden Umno mengukuhkan pasukannya serta menggugurkan pemimpin yang tidak mempamerkan prestasi baik jika mahu meningkatkan sokongan kepada kerajaan.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan rombakan Kabinet sememangnya berada dalam perancangan dengan beberapa menteri dan pemimpin veteran dijangka bakal digugurkan.

Antara mereka yang dijangka digugurkan daripada senarai gabungan itu ialah bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Ong Ka Ting.

Dalam mesyuarat tertutup dengan pengerusi perhubungan negeri gabungan tersebut minggu lepas, Najib memberi isyarat akan merombak senarai calon BN dan meminta kerja sama penuh daripada semua pemimpin, serta menegaskan ia suatu yang “mustahil” untuk memuaskan hati semua pihak semasa mendrafkan senarai akhir calon tersebut.

Mesyuarat tersebut disusuli dengan rayuan supaya bersatu, ditengah-tengah ancaman sabotaj oleh mereka yang tidak puas hati kerana tidak terpilih.

Sabotaj dalaman telah menjadi salah satu faktor penyumbang utama kekalah teruk BN pada pilihan raya umum 2008 yang lalu.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi