Bahasa

BN boleh menang Kelantan, yakin dapat 30 kerusi, kata Tok Pa

April 27, 2013

 

KUALA LUMPUR, 27 April — Barisan Nasional (BN) yakin akan memenangi 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya 2013 untuk merampas Kelantan, berdasarkan mood rakyat di negeri pantai timur itu kata pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Portal berita pro Umno Agendadaily juga memetik  Mustapa sebagai berkata kemenangan BN bergantung kepada anggaran 130,000 pengundi yang tinggal di luar negeri tersebut, yang telah diperintah oleh PAS sepanjang 23 tahun lalu.

“Perubahan itu amat ketara terutama di Pasir Puteh apabila ramai anggota PAS dan PKR menyertai Umno sama ada secara senyap atau terbuka,” katanya selepas bertemu dengan jentera pilihan raya Umno di Cherang Ruku malam tadi.

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri kerajaan sementara itu mengatakan perubahan itu hasil kerja kuat seluruh jentera BN selama dua tahun terutama di Pasir Puteh di bawah program ‘Selamat Tinggal PAS’ dan ‘Gelombang Merah’ sehingga berjaya menarik penyertaan antara 40,000 hingga 50,000 rakyat.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keupayaan BN di Kelantan bukan mustahil kerana parti itu hampir menawan negeri berkenaan pada 2004 kerana kalah hanya dengan satu kerusi.

Beliau juga berkata jentera pilihan raya antara kedua-dua parti kuat secara seimbang untuk pilihan raya umum 5 Mei.

Menurut Mohamed Mustafa pengundi yang menetap di Kelantan sudah bersedia untuk berubah kerana mahu merasai kehidupan yang lebih baik dari aspek infrastruktur dan ekonomi berbanding sekarang.

“Semuanya kini bergantung pada rakyat Kelantan sendiri. Namun, kita jangan lupa kekalahan BN pada 2008 disebabkan pengundi yang menetap di luar negeri itu yang masih mahu memberi sokongan kepada PAS.

“Pengundi yang menetap di luar Kelantan tetap memberi mandat kepada PAS kerana mereka tidak merasai kesukaran hidup yang serba kekurangan. Pengundi luar tidak sedar dan tidak merasai masalah di Kelantan. Selama ini kehidupan mereka senang kerana kenikmatan dan faedah yang disediakan oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh BN,” katanya.

Mohamed Mustafa mengatakan demikian ketika ditanya mengenai jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan melaksanakan tujuh projek besar untuk memajukan Kelantan sekiranya menang selepas pilihan raya nanti.

Tujuh projek berkenaan ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, 3,000 buah rumah rakyat, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masjid ikon bernilai RM50 juta.

Najib juga berjanji akan menyelesaikan masalah air dan memperkenalkan sistem pengangkutan Rapid di Kota Bharu.

Janji tersebut adalah sebahagian daripada manifesto negeri BN termasuk ikrar 17 perkara yang dimasukkan BN dalam manifesto mereka untuk Pilihan Raya 2013.

Terdapat hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 di luar negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil Parlimen dan 505 kerusi DUN di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi