Bahasa

BN ‘kenyang’ jika PAS, DAP, PKR bergaduh, nasihat Hadi

SHAH ALAM, 25 Feb — Pemimpin-pemimpin Pakatan rakyat (PR) dinasihatkan tidak bertelagah kerana sebarang pertelingkahan yang berlaku antara parti-parti komponen politik pembangkang itu hanya akan memberikan kelebihan kepada seteru mereka, Barisan Nasional (BN), kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi (gambar) ketika ucapannya dalam majlis pelancaran manifesto PR di sini menegaskan, meskipun parti pembangkang itu turut melalui saat-saat pertelingkahan dan berdebat, ianya tidak akan menghancurkan kemuafakatan yang telah disepakati mereka.

“Kita buktikan perpaduan dalam PR ... walaupun kita berbeza pendapat, bertelingkah, berdebat, boleh berbalah, tetapi apabila mengacau gula, teh dan kopi, kita tidak memecahkan cawan itu,” katanya di hadapan 1,500 perwakilan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

“Jika PAS, DAP, PKR bergaduh ... BN yang kenyang,” tegasnya lagi.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu lagi, PR juga tidak berhasrat untuk memerintah sepanjang hayat sekiranya berpeluang menawan Putrajaya, sebaliknya bersedia dihukum melalui demokrasi yang adil.

“Jika kita menang kerajaan PR tidak berlagak jadi Tuhan, tetapi kita sedia dihukum dengan demokrasi yang adil.

“Kita juga bukan mahu memerintah sepanjang hayat,” kata pemimpin veteran PAS itu lagi.

Abdul Hadi turut mengulas berkenaan pemberian bantuan sara hidup, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang mana menurutnya bukanlah suatu perkara baru kerana Firaun juga pernah memberikan BR1M ketika memerintah mesia suatu masa dahulu.

“BR1M bukan perkara baru, Firauan pernah bagi BR1M ... kekayaan digunakan untuk menyesatkan rakyat, bukan membina rakyat.

“BR1M itu duit kamu, ambil ... kamu (penerima BR1M) bukan ayam, itik ... bagi makan dedak, kita makan ayam itu balik,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.