Bahasa

BN, Pakatan gagal selesai petisyen pilihan raya, serah kepada mahkamah 



Satu cadangan penyelesaian di luar mahkamah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk menarik balik petisyen rayuan bagi Pilihan Raya Umum 5 Mei di mahkamah senyap begitu saja.



Bagi mengesahkan "penyelesaian global" terhadap rayuan 19 petisyen pilihan raya itu gagal, peguam PR dan pemimpin politik berkata mereka akan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan ke atas undang-undang pilihan raya yang boleh dipersoalkan.



Satu penyelesaian global merujuk kepada perjanjian antara dua pihak sebagaimana yang dipersetujui bersama. Menurut laporan, bulan lalu peguam BN dan PR sudah berbincang untuk menentukan sama perkara itu boleh diselesaikan secara baik.



Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, PR mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan dan memberi kepastian berkenaan undang-undang pilihan raya.

"Kita tidak akan tahu dengan pasti apa kedudukan sebenar berkenaan isu-isu perbalahan yang dibangkitkan. Setakat ini jika kita telah memilih penyelesaian secara global," katanya kepada The Malaysian Insider.



Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang berkata, parti itu mungkin tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah tetapi itu adalah satu-satunya saluran bagi mendapatkan penyelesaian.

"Bagaimanapun, kita akan tahu mana prosedur dalam undang-undang pilihan raya litigan yang perlu diikuti agar petisyen berkenaan tidak akan ditolak atas alasan teknikal," katanya.



Peguam PKR Sivarasa Rasiah (gambar), yang dikatakan mengetuai pasukan PR dalam rundingan dengan pasukan undang-undang BN, enggan menyatakan secara spesifik butir rundingan berkenaan. 



Beliau berkata kedua-dua pihak telah meminta masa daripada Mahkamah Persekutuan dengan harapan dapat memperoleh penyelesaian secara baik tetapi itu tidak menjadi kenyataan.



"Mahkamah telah mula mendengar rayuan selepas kita memaklumkan kedua-dua belah pihak tidak menarik balik kes-kes mereka," katanya.



Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, beliau berharap faktor kos boleh diselesaikan antara BN dan PR walaupun selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan rayuan itu.

Selasa lalu, peguam yang hadir bagi BN dan PR memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa penyelesaian luar mahkamah tidak dapat dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan rayuan yang tertangguh akan diteruskan.

Bagaimanapun, peguam BN meminta tambahan masa untuk membuat keputusan sama ada meneruskan rayuan mereka bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Batu di Kuala Lumpur.


Mahkamah tertinggi telah menetapkan sebutan pada 19 Disember bagi kedua-dua kes.

Sehingga kini, mahkamah juga membenarkan rayuan yang dibawa oleh PKR untuk membatalkan kemenangan BN di kawasan Parlimen Machang dan seterusnya diremitkan ke mahkamah pilihan raya untuk perbicaraan.



Mahkamah juga telah menetapkan 23 Disember bagi keputusan mengenai rayuan
petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bagan
Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau.



Sementara itu, mahkamah juga telah menolak lima rayuan lain yang dibawa oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi DUN Jelawat di Kelantan dan PAS bagi tiga kerusi DUN Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak. – 13 Disember 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.