Bahasa

BN perlu letak calon ‘besar’ hadapi Kit Siang di Gelang Patah, kata Dr Mahathir

SHAH ALAM, 6 April — Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon utama bagi menghadapi Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah bagi menamatkan riwayat politik Pengerusi Parlimen DAP itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, selagi Kit Siang tidak ditewaskan beliau tidak akan berhenti daripada kancah politik tanah air.

“Tokoh besar lawan tokoh besar, kalau Kit Siang kalah tamatlah hayat dia, kalau tidak dia tidak akan berhenti.

“Tidak kira MCA atau (Menteri Besar Datuk Abdul) Ghani (Othman) ke, bagi kalah Kit Siang, kalau tidak dia tak mahu berhenti, sampai nak mati pun sibuk je lagi,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas sidang media dalam program anjuran Perkasa di sini.

Kit Siang telah disahkan akan bertanding di Gelang Patah, kerusi yang menjadi milik MCA selama ini melalui calon mereka, Tan Ah Heng yang juga merupakan Ketua Wanita MCA Johor.

Sebelum Kit Siang, anak jati Batu Pahat itu diumumkan bertanding di Gelang Patah, kerusi parlimen itu telah menjadi perebutan antara Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Keputusan Pakatan Rakyat (PR) menghantar pulang Lim dan Salahuddin Ayub dari PAS ke Johor dilihat sebagai satu kesungguhan untuk mencabar kubu kuat Umno dan BN.

BN akan melawan pembangkang persekutuan Pakatan Rakyat (PR) untuk sokongan daripada 13.3 juta pengundi di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya yang mungkin akan diadakan bulan ini.

Sumber mengatakan BN yakin untuk mendapatkan semula parlimen majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang di negara ini manakala musuh mereka yakin mempertahankan apa yang diperolehi dalam Pilihan Raya 2008.

BN dijangka akan mengumumkan senarai calon pada Selasa depan dengan sumber mengatakan 40 peratus terdiri daripada muka-muka baru. PR telah menamakan beberapa calon tetapi dijangka akan mengumumkan senarai penuh sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu pada Rabu untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.