Bahasa

BN rampas semula Selangor, Kedah, ramal pakar Feng Shui

KUALA LUMPUR, 11 April — Seorang pakar Feng Shui meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di peringkat kerajaan pusat serta merampas semula Selangor dan Kedah.

David Koh, 67, turut meramalkan BN akan meraih lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang berbanding semasa pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, BN dijangka menghadapi persaingan sengit di Negeri Sembilan dan Perlis, katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Koh pernah memberitahu Bernama TV beliau meramalkan pengundian PRU13 akan jatuh pada 5 Mei depan dan nyata tekaan beliau tepat apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan tarikh tersebut, semalam.

Biarpun ramai beranggapan ramalannya hanya sekadar ‘tembak angin’ namun Koh berkata ramalan itu berasas kerana ia menggunakan pengiraan Feng Shui dikenali sebagai ‘Shi’ yang membawa maksud perang.

“Selepas pembubaran pada 3 April lepas, kita ada 60 hari untuk mengadakan pilihan raya, jadi menurut formula Shi, sepanjang tempoh 60 hari itu akan ada satu hari yang akan berperang dan hari tersebut jatuh pada 5 Mei,” katanya.

Koh berkata BN telah banyak membuat perubahan drastik dengan beberapa kejayaan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memenangi hati rakyat selepas negara mengalami tsunami politik pada 2008.

“Selama lima tahun ini kita dapat lihat pelbagai transformasi telah dilakukan oleh Perdana Menteri. Meramalkan siapa yang menang atau kalah pada pilihan raya kali ini juga memerlukan ramalan yang berasas. Ia bukan bergantung kepada nasib tetapi berdasarkan usaha keras yang dilakukan oleh anggota politik itu sendiri untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu terima keputusan siapa menang atau kalah pada hari mengundi nanti dan percaya rakyat Malaysia kini lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan. – Bernama

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments