Bahasa

BN siapkan manifesto berasingan untuk tawan kembali Selangor

Oleh Syed Jaymal Zahiid

March 02, 2013

KUALA LUMPUR, 2 Mac — Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan manifesto berasingan untuk Selangor bagi membolehkan parti kerajaan berkenaan menawan semula negeri terkaya itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13, kata bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo. 

The Malaysian Insider difahamkan BN mempunyai manifesto untuk seluruh negara, dan juga manifesto berasingan untuk Selangor, Sabah, dan wanita. 

“Manifesto itu akan menyentuh isu di negeri, terutamanya ekonomi dan jurang pendapatan. Kami mempunyai penyelesaian untuk masalah itu,” kata bekas menteri besar itu kepada The Malaysian Insider

Beliau tewas dalam Pilihan Raya 2008 dan kemudiannya dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada 2011 atas kesalahan rasuah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci isi kandungan manifesto tersebut namun menegaskan BN akan membuat pengumuman sejurus Parlimen dibubarkan. 

Malah, turut difahamkan penyediaan manifesto itu dibuat atas arahan Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri. 

Najib sebelum ini telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya negeri berkenaan, yang mana penganalisis melihat ianya sebagai satu “refleksi” keinginan pengerusi BN itu menawan semula Selangor. 

Koordinator BN Selangor Datuk Mohd Zin Mohamed mengesahkan keputusan tersebut dibuat ketika mesyuarat BN negeri baru-baru ini, apabila pemimpin mengutarakan strategi terbaik untuk memastikan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dapat ditumbangkan. 

“Perdana Menteri, yang juga pengerusi BN negeri akan mengetuai jentera pilihan raya Selangor dan melihatkan usaha berterusan beliau untuk parti, dan menunjukkan keyakinan “tangannya” di Selangor. 

Selain negeri terkaya itu, BN turut kehilangan tiga lagi negeri — Perak, Kedah, dan Pulau Pinang pada 2008 apabila pembangkang memperolehi 82 kerusi Parlimen dan menafikan dua pertiga majoriti BN. 

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada April 2009, Najib telah berjuang habis-habisan untuk Selangor, dan Khir berkata ia kemudiannya menjadi penyebab BN untuk menghasilkan manifesto berasingan bagi negeri undustri yang mana menurutnya isu di Selangor amat unik. 

“Ia lebih mendalam. Isu kami bukan lagi mengenai bangunan, jambatan mahupun perparitan. Ia lebih daripada itu.” 

Ketika Pilihan Raya 2008, seteru politik BN, PR menjanjikan manifestonya yang mana termasuk 20 meter padu air percuma dan beberapa program kebajikan di Selangor. 

Kerajaan pembangkang itu bagaimanapun dituduh melupakan beberapa janji dalam manifesto mereka apabila Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata “manifesto bukan janji” dan telah menjadi bahan kempen politik untuk BN. 

“Kami bukan cakap kosong seperti mereka. 

“Manifesto kami akan ditunaikan. Kesemuanya,” tambah Khir (gambar) lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi