BN taja taktik kewartawanan kotor, kata PKR
KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Tindakan perletakan jawatan secara paksaan terhadap Joshua Trevino dari akhbar The Guardian hari ini adalah salah satu bukti daripada taktik “pengaturan berita” dan “taktik kewartawanan kotor” yang diamalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) kata Pengarah Publisiti PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar).
Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini menegaskan insiden yang menimpa penulis dari Amerika Syarikat itu telah membangkitkan semula “obsesi pentadbiran BN bagi membayar konsultan bagi membina imej mereka di luar negara.”
“Trevino dipaksa meletak jawatan apabila beliau didedahkan sebagai konsultan kepada FBC Media ketika beliau menulis sebuah artikel yang memuji imej ‘Muslim sederhana’ (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.
“Meskipun Najib cuba menjauhkan dirinya daripada taktik kewartawanan kotor FBC yang ‘mengatur berita’ apabila menerima upah daripada kerajaan Malaysia, kedua-dua rangkaian media antarabangsa BBC (British Broadcasting Corporation) dan CNBC (Consumer News and Business Channel) menamatkan kontrak mereka dengan FBC Media memandangkan pelanggaran etika kewartawanan,” jelas Nik Nazmi dalam kenyataannya.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan akhbar British The Guardian telah menamatkan perkhidmatan kolumnis konservatif Amerika berkenaan sebagai koresponden Amerika Syarikat kerana didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah syarikat yang terbabit dalam kempen penetapan berita yang dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk menjalankan sebuah laman web yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepentingan pembangkang lain di sini.
Dalam kenyataan pendek hujung minggu lalu, akhbar tersebut mengatakan baru-baru ini mereka mengetahui bahawa Trevino “adalah perunding bagi agensi yang mempunyai kepentingan perniagaan Malaysia dan bahawa beliau menguruskan sebuah laman web yang dipanggil 'Malaysia Matters' (Perihal Malaysia). Selaras dengan kod editorial Guardian, ini sepatutnya telah didedahkan.”
Trevino adalah pengulas konservatif terkenal dan bekas penulis ucapan semasa pentadbiran Presiden George W Bush.
Beliau telah melaporkan secara meluas sejak beberapa tahun kebelakangan ini tentang perbicaraan Liwat II Anwar di laman web Malaysia Matters yang kini tidak lagi beroperasi.
Trevino juga kerap mengkritik Anwar di ruangannya dalam penerbitan lain seperti Huffington Post.
Tambah Nik Nazmi, Najib juga telah mengakui secara terbuka di Parlimen bahawa kerajaan telah “membayar RM94 juta kepada FBC Media antara 2007 dan 2010.”
“Ironis sekali ketika mana pimpinan Umno-BN menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat (PR) sebagai anti Islam dan pro-Zionis di Malaysia, mereka melantik konsultan-konsultan yang dikenali kerana pandangan anti-Islam dan pro-Zionis yang ekstrim bagi menaikkan imej mereka di luar negara.
“Pada masa yang sama, insiden mengatur berita ini membolehkan media Umno-BN di Malaysia untuk melaporkan bahan-bahan tersebut sebagai berita yang kononnya datang daripada sumber media yang berwibawa di luar negara,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia ini lagi.
Tambah Nik Nazmi,”kontroversi FBC ini walaubagaimanapun membuktikan bahawa pengiktirafan ini sebenarnya ‘dibeli’ menggunakan wang rakyat.
“Pada masa yang sama, skandal ini membuktikan bahawa pentadbiran hari ini menumpukan perhatian untuk mendapat pengiktirafan tidak bermakna dari luar bagi menutup kegagalan mereka menyelesaikan masalah di dalam negara.
“Jelas sekali pentadbiran Najib tidak mempunyai keutamaan yang sewajarnya dan hanya mampu menumpukan masa mereka terhadap fitnah dan penipuan, bukannya perubahan dasar,” tambahnya.
Justeru, beliau mengharapkan agar Najib segera berterus terang kepada rakyat Malaysia berkenaan “peranan pentadbirannya di dalam skandal mengatur berita yang telah memburukkan imej negara” jika beliau benar-benar serius terhadap transformasi dan “imej progresif” yang dibina perunding luar negara tersebut.
“Trevino dipaksa meletak jawatan apabila beliau didedahkan sebagai konsultan kepada FBC Media ketika beliau menulis sebuah artikel yang memuji imej ‘Muslim sederhana’ (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.



