Bahasa

BN tidak hadapi masalah jika Selangor bubar DUN awal, kata Muhyiddin

January 31, 2013

Tan Sri Muhyiddin Yassin (berbaju biru) sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil di Selangor. – Gambar failTan Sri Muhyiddin Yassin (berbaju biru) sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil di Selangor. – Gambar failKOTA BAHARU, 31 Jan — Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah sekiranya kerajaan negeri Selangor hendak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi diadakan pilihan raya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata BN bersedia untuk melaksanakan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan dengan tindakan kerajaan Selangor itu.

"Saya tidak tahu benar atau tidak, dulu dia kata tak nak bubar, sekarang ni nak bubar. Saya tidak tahu apa maknanya itu, adakah maknanya kalau tidak ada pengumuman daripada perdana menteri mengenai pembubaran parlimen, Selangor akan adakan pilihan raya lebih awal.

"Dari segi perlembagaan, dia ada hak, di peringkat negeri, dia boleh nasihatkan Sultan, untuk dapatkan perkenan bubarkan DUN dan adakan pilihan raya, memang ada dalam perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Muhyiddin merangkap Timbalan Presiden Umno, yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, kemudiannya mengadakan perjumpaan khas tertutup bersama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) di tempat yang sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bahawa kerajaan negeri bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Chap Goh Meh bulan depan.

Abdul Khalid berkata cadangan itu tertakluk kepada perbincangan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang sebelum pihaknya memutuskan perkara berkenaan. Muhyiddin berkata daripada segi pengurusan pilihan raya oleh SPR, adalah lebih baik pembubaran itu dibuat serentak memandangkan jika dibuat berasingan akan melibatkan guna tenaga dan perbelanjaan yang banyak.

"Contohnya, katakan dia buat dua minggu lebih awal, orang keluar mengundi, selepas itu dua minggu lagi orang turun sekali lagi keluar mengundi...SPR kena buat kerja sekali lagi...memang banyak belanja, kalau selang dua tiga minggu je, tunggu je lah apa salahnya, tak tahu apa tujuan (kerajaan Selangor itu)," katanya.

Mengenai kaji selidik Yayasan Ehwal Siswazah bertajuk "Kajian Maklum Balas Pengundi Mahasiswa" membabitkan 3,000 responden dari tiga universiti yang menunjukkan Najib paling popular dalam kalangan mahasiswa dan lebih layak menjadi Perdana Menteri berbanding pemimpin pakatan pembangkang, Muhyiddin berkata ini bermakna anak-anak muda termasuk mahasiswa memberi pandangan yang cukup tinggi kepada perdana menteri yang dipilih atas kewibawaan, keupayaan dan kebijaksanaannya.

Beliau berkata ini antara perkembangan baik yang berlaku dalam BN dan usaha akan terus dilakukan bagi menyakinkan rakyat bahawa BN bersungguh-sungguh untuk membantu mereka.

Mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa BN boleh menang majoriti dua pertiga pada PRU Ke-13, Muhyiddin berkata "kalau ada pihak berkata begitu baguslah tetapi bagi kami yang memimpin parti ini mempunyai cara sendiri untuk menentukan perkara tersebut".

"Kita tak kata boleh dapat atau tidak boleh dapat, saya fikir bila rakyat pergi mengundi mereka akan buat keputusan dan kita akan mengira, sekarang pun kita ada sistem membanci dan menilai tahap sokongan pengundi, kita tahu kedudukan kita tetapi tidak mahu menyatakan sebegitu nanti ada orang akan kata kalau begitu tak payah sokong BN, yang penting keyakinan BN sudah agak jelas," katanya.

Beliau menegaskan walaupun pelbagai dakwaan pembangkang, yang nyata kedudukan BN kini kuat. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi