Bahasa

Bomba jamin 8,780 pusat pengundian seluruh negara selamat

April 11, 2013

MARANG, 11 April — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan 8,789 pusat pengundian di seluruh negara selamat digunakan untuk proses pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya telah selesai menjalankan pemeriksaan di semua pusat pengundian, penjumlahan undi dan penamaan calon mengikut senarai yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pemeriksaan itu dilakukan sejak sebulan lepas bagi memastikan tempat-tempat berkenaan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada bahaya kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati segala kemudahan yang terdapat dipusat berkenaan seperti alat pemadam api, punca bekalan air dan sebagainya dalam keadaan baik bagi memudahkan tugas anggota bomba jika berlaku kebakaran.

Wan Mohd Nor berkata pihaknya juga akan menempatkan anggota di beberapa lokasi stategik di pusat pengundian dan penjumlahan undi untuk memberikan perkhidmatan awal sekiranya berlaku kecemasan di pusat berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut membuat rondaan menggunakan unit bermotosikal serta jentera untuk meninjau keselamatan di pusat berkenaan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, di KOTA BAHARU, Wan Mohd Nor berkata 13,000 anggota di seluruh negara terlibat dalam penugasan semasa PRU13.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2012 di Hotel GRV di sini, petang semalam.

Pada majlis itu, seramai 46 anggota menerima anugerah kecemerlangan dan 28 anggota menerima pingat kebesaran jabatan. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi