Bahasa

Bot karam: 23 hilang, 181 selamat

KUCHING, 28 Mei — Seramai 23 orang hilang manakala 181 lagi selamat apabila bot ekspres yang mereka naiki karam di Sungai Rajang berhampiran Belaga di pedalaman Sarawak hari ini.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata kesemua 181 mangsa yang selamat itu kini ditempatkan di dua rumah panjang tidak jauh daripada kawasan kejadian, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot ekspres dari pekan Belaga.

"Kami masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang," katanya ketika dihubungi dari sini.

Beliau berkata kejadian dilapor antara pukul 8.30 dan 9 pagi apabila bot ekspres 'Bakun Mas' itu mengalami masalah enjin selepas melangar serpihan kayu di sungai itu.

Ketika kejadian bot dengan kapasiti 67 penumpang itu sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di kawasan itu.

Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kapit Betek Lahang ketika dihubungi berkata polis dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa terlibat.

Beliau berkata ketika kejadian bot ekpress yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan ke Kapit dan Sibu selepas kira-kira 40 minit berlepas dari bandar Belaga.

Polis dan pasukan perubatan kini berada di tempat kejadian dan sehingga petang ini usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan, katanya.

Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah ketika dihubungi berkata beliau dan anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan anggota Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang dalam perjalanan ke tempat kejadian. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.