Bahasa

Buang bayi: 80 peratus kes didakwa libatkan Melayu

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Meskipun tiada butiran tepat kaum-kaum yang terlibat dalam kes pembuangan bayi - yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa percaya majoriti mereka yang terlibat merupakan orang Melayu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merumuskan perkara ini memandangkan lebih 80 peratus mereka yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.

Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu.

Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).

Ketua Penolong Pengarah Unit Siasatan Seksual/Kanak-kanak Bukit Aman, ACP Hamidah Yunus menjelaskan, komposisi kaum yang tepat tidak dapat diberi secara terperinci kerana kebanyakan kes tidak dapat diselesaikan ekoran ketiadaan bukti untuk menahan ibu bapa bayi yang dibuang.

“Kesemua 13 yang didakwa (tahun ini) itu Melayu... yang tak dapat selesai kita pun tak tahulah, kebanyakan bayi yang dijumpai nampak macam Melayu, tetapi orang Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Nepal juga nampak macam Melayu. Kita tak tahu selagi tak dapat siapa yang membuang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, kebanyakan bayi yang ditinggalkan sukar untuk dikenal pasti identiti kaum mereka.

“Bagi bayi yang ditinggalkan kita tidak boleh untuk kenal pasti secara tepat identiti kaum mereka.

“Apa yang kita boleh bezakan melalui warna kulit dan juga rupa mereka untuk membezakan mereka kaum apa.

“Tapi, bagi bayi yang sudah meninggal ketika ditinggalkan, kita memang tidak boleh untuk mengenal pasti (keturunan),” katanya.

Hamidah menjelaskan, statistik kes pembuangan bayi menunjukkan peningkatan daripada 65 kes pada 2005 kepada 79 tahun lalu.

Secara purata lapan bayi dibuang tiap-tiap bulan tahun ini setakat ini.

“Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 65 kes pembuangan bayi. Kalau nak dibandingkan dengan tahun lalu, dari 1 Januari sehingga 31 Ogos 2009, hanya 42 kes... bermakna ini satu keadaan yang cukup membimbangkan,” katanya.

Mengulas mengenai punca bayi dibuang, Hamidah memberitahu, sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab merupakan sebab utama mereka mengambil keputusan membuang bayi.

“Kawalan ibu bapa dan keluarga itu kurang, sebabkan mereka kurang ilmu dan kesedaran.

“Kemudian kalau mengandung, malulah kepada masyarakat. Ada yang tidak bersedia untuk bertanggungjawab, muda sangat dan tak boleh kahwin, jadi ambil keputusan buang bayi,” jelasnya.

Hamidah juga memberitahu peranan keluarga dan masyarakat merupakan jalan penting yang dapat mengubah perkara ini.

“Peranan keluarga dalam mendidik anak dari rumah adalah penting. Tidak boleh harapkan kerajaan sahaja kerana didikan sebenar bermula dari rumah,” katanya.

Sisters In Islam (SIS) mendakwa salah satu punca utama menyumbang kepada kes pembuangan bayi adalah kerana ibu kepada bayi terbabit tidak mempunyai pilihan sehingga menyebabkan terpaksa meninggalkan anak mereka begitu sahaja.

Jurucakap SIS Yasmin Masidi berkata, remaja yang mengandung luar nikah biasanya disisihkan oleh masyarakat selain bimbang akan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam.

“Jadi apabila ini berlaku mereka mengambil langkah meninggalkan bayi mereka,” kata beliau sambil menambah, kekurangan pusat-pusat perlindungan juga merupakan faktor berlakunya kes pembuangan bayi.

Yasmin berkata, beberapa punca lain yang menyebabkan berlaku kes pembuangan bayi termasuk seks rela sesama pasangan, rogol dan sumbang mahram namun ia tidak boleh dibuktikan secara jelas.

“Mungkin kes pembuangan bayi ini berpunca daripada seks rela sesama pasangan, malah satu dari 10 kes rogol yang dilaporkan berpunca daripada sumbang mahram.

“Jadi ada kemungkinan sebahagian daripada kes buang bayi yang berlaku disebabkan kes rogol atau sumbang mahram,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan majoriti yang ditangkap atas kesalahan pembuangan bayi adalah remaja, jadi keperluan pendidikan seks di sekolah perlu dilaksanakan.

Menurut Yasmin, remaja lelaki juga perlu diajar untuk bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan mereka termasuk kesannya.

“Selama ini remaja perempuan selalu ditekan untuk mengadakan hubungan seks dan mereka sentiasa dipersalahkan apabila berlaku kes pembuangan bayi.

“Jadi remaja lelaki juga perlu diajar untuk bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan kesannya,” katanya lagi.

Berhubung sebab orang Melayu jadi majoriti dalam statistik kes membuang bayi, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tingkah laku tidak bermoral yang tidak dapat dikawal dan mereka bebas berbuat apa sahaja disukai serta terlanjur menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

“Kerana tanpa panduan agama, mereka melakukan hal ini yang saya anggap sebagai bala daripada Allah,” kata beliau.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang memberitahu, orang Melayu mengambil jalan singkat dengan membuang bayi kerana mereka rasa takut dengan masyarakat sekeliling apabila membuat kesalahan.

“Kemungkinan kaum lain tidak menganggap itu sebagai satu masalah.

“Masyarakat akan pandang serong dan diberi pandangan negatif dan disisihkan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin berkata, statistik yang dikeluarkan oleh polis tahun ini sememangnya amat mengejutkan.

“Apa yang boleh dibaca ialah orang Melayu tidak praktikan seks selamat, dan hakikatnya banyak daripad mereka terlanjur.

“Perkara pokok ialah terlanjur dan mengandung, buang bayi isu lain tetapi ia sekali gus berkaitan menyumbang kepada statisktik buang bayi.

“Bayangkan kalau remaja itu mengandung, panik, tak tau nak buat apa, dan tak tahu jalan untuk membantu dia,” katanya lagi.

Kata beliau, orang Melayu tebal dengan stigma dan “mereka tidak tahu hendak buat apa lepas mengandung.”

“Tanggungjawab umum masyarakat perlu untuk atasi perkara ini tetapi semua bermula dari individu itu sendiri supaya menjaga diri,” kata beliau.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.