Bahasa

Budaya balas dendam mungkinkan tragedi berdarah Lahad Datu berulang, kata menteri pertahanan

Zahid Hamidi semasa sidang media 'Ops Daulat' di Lahad Datu. – Gambar failZahid Hamidi semasa sidang media 'Ops Daulat' di Lahad Datu. – Gambar failKUALA LUMPUR, 14 Mac — Budaya membalas dendam yang terpupuk dalam diri masyarakat di selatan Filipina sejak ratusan tahun dahulu memungkinkan tragedi berdarah di Lahad Datu berulang kembali pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau berkata pihak keselamatan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan negara dan inisiatif Kawasan Keselamatan Khas (ESSCOM) sepanjang kira-kira 1,400km di pantai timur Sabah merupakan antara langkah terbaik mengelakkan tragedi berdarah itu berulang kembali.

“Saya meletakkan keyakinan penuh kepada pasukan tentera dan polis kita dalam memastikan tragedi ini tidak berulang kembali, namun kebimbangan itu tetap ada kerana budaya membalas dendam ada dalam diri mereka (masyarakat itu),” katanya kepada Bernama.

“Budaya ini melibatkan keturunan juga masa ratusan tahun. Umpamanya bapa saya bergaduh dengan bapa seorang individu, kalau saya tak dapat balas dendam, cucu saya akan balas dendam kepada cucu individu itu.”

Anggota keselamatan Malaysia sehingga kini menembak mati 56 pengganas. Tragedi itu juga mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata budaya membalas dendam itu sehingga kini masih berlaku di selatan Filipina seperti pembakaran rumah berlaku setiap bulan dan tidak mustahil tragedi berdarah di Lahad Datu itu menyebabkan pengganas Sulu bertindak membalas dendam kepada Malaysia pada masa hadapan.

“Kalau itu berlaku di kalangan mereka tidak mustahil berlaku di negara kita. Bagaimana jaminan (tragedi itu tidak berulang) dapat dilakukan sedangkan mereka punyai budaya balas dendam. Kerana itu pentingnya kita wujudkan ESSCOM bagi memastikan ini tidak berlaku,” katanya.

Ditanya tentang rasional Malaysia bekerjasama dengan Filipina bagi mengambil tindakan ketenteraan di selatan Filipina bagi menghapuskan ancaman itu secara terus di puncanya, beliau berkata tindakan ketenteraan bukan penyelesaian kepada masalah itu.

“Pertama kalau kita masuk ke Filipina ke kawasan mereka, kita tidak hormati kedaulatan Filipina, begitu juga sebaliknya dengan kita di Malaysia. Jadi kedaulatan kedua-dua negara ini perlu dihormati. “Kedua kita berbalik kepada budaya membalas dendam itu sendiri. Jika kita minta kerajaan Filipina bersama kita bersihkan kawasan itu, oleh kerana budaya dendam itu sentiasa ada, masalah tidak dapat diselesaikan dengan tindakan ketenteraan,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Filipina kerana sentiasa bekerjasama erat dengan Malaysia dalam menyelesaikan tragedi itu serta memastikannya tidak berulang kembali seperti usaha menyekat pengganas Sulu daripada memasuki Malaysia.

Terdapat cadangan di kalangan rakyat Malaysia supaya pemimpin pengganas itu Jamalul Kiram diekstradisi ke Malaysia bagi didakwa di mahkamah negara ini, dan mengulas cadangan itu beliau berkata atas nama kebersamaan negara ASEAN, Malaysia boleh meminta Filipina untuk berbuat demikian.

“Kita pernah hantar Nur Misuari (pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) ke Filipina atas semangat ASEAN. Oleh demikian kalau Jamalul Kiram boleh ditahan dan diambil tindakan itulah sebaiknya.

“Jamalul Kiram rakyat Filipina tetapi jenayah dilakukan di Malaysia, jadi atas nama kebersamaan sebagai negara Asean kita boleh meminta Filipina bawa beliau bagi didakwa di Malaysia. Namun itu bukan atas kuasa Kementerian Pertahanan, Jabatan Peguam Negara kendalikan,” katanya.

Beliau berkata ada kewajaran terdapat cadangan daripada Pergerakan Pemuda Umno bagi mendakwa Jamalul Kiram dan pengikutnya mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Mungkin akta dan seksyen itu sesuai tetapi kita serahkan kepada Peguam Negara akta mana paling sesuai digunakan. Apapun saya tegaskan pengganas yang kita tahan di Malaysia itu akan diambil tindakan perundangan sewajarnya.

“Kesalahan mereka itu dilakukan di negara kita jadi tindakan mahkamah dan perundangan mesti dilakukan di negara kita. Ia akan tertakluk kepada undang-undang di sini, kita menggangap mereka adalah penceroboh,” kata Ahmad Zahid.

Sehingga kini 156 orang ditahan kerana berada di zon merah operasi manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan.

Beliau turut ditanya tentang golongan tegar pembangkang yang hanya mempercayai fitnah dan tohmahan dilempar pemimpin pembangkang dan langsung tidak mempercayai maklumat disalurkan kerajaan tentang insiden itu.

Ahmad Zahid menegaskan masalah yang dihadapi di Lahad Datu sekarang bukan masalah politik sebaliknya masalah keselamatan negara dan seharusnya isu pertahanan negara tidak dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.

“Ini merupakan hasil proses mentaksubkan pengikut yang hebat dilakukan pembangkang, budaya kebencian disemai di kalangan penyokong tegar mereka. Apa sahaja dibuat oleh kerajaan satu pun tidak positif.

“Saya harap mereka hormati profesionalisme Polis Diraja malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalau mereka kata ATM atau PDRM tak sekuat mana, silakan ke Lahad Datu lihat sendiri. Saya bawa jika benar mereka ada semangat patriotik. Sehingga sekarang tiada seorang pun (ingin ke Lahad Datu),” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.