Bahasa

Bukan semua ADUN Umno terima Mukhriz sebagai MB

Oleh Md Izwan
February 20, 2013

Khabar angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul beberapa tahun lalu. – Gambar fail   Khabar angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul beberapa tahun lalu. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Kedah berhati-hati dalam menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar jika parti tersebut memenangi negeri jelapang padi itu dengan mengatakan pengalaman di peringkat pusat atau faktor keturunan bukanlah jaminan kepada kejayaan.

Beberapa ADUN yang dihubungi The Malaysian Insider mengatakan Mukriz tidak mempunyai kelebihan kerana beliau anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, atau sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, sambil menegaskan mentadbir negeri di utara tersebut berbeza dengan pentadbiran di peringkat pusat.

“Status sebagai seorang anak mantan perdana menteri bukan sesuatu jaminan kepada beliau,” kata ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar kepada The Malaysian Insider.

“Pengundi sekarang banyak mendapat maklumat dan mereka sudah bijak untuk membuat pilihan,” tambah beliau.

Selain Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri yang aktif berpolitik adalah Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Apabila ditanya sama ada Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memimpin Kedah jika BN kembali merampas negeri tersebut daripada PAS, Ahmad Zaini berkata corak politik dan pentadbiran pusat dan negeri adalah sesuatu yang berbeza.

“Tidak semestinya memegang jawatan di Pusat akan menjamin beliau dapat mengendalikan pemerintahan negeri, corak kedua-duanya berbeza sekali,” katanya.

Mukhriz menafikan semalam pencalonannya sebagai menteri besar Kedah, mengatakan BN perlu memenangi negeri tersebut dalam PIlihan Raya 2013 sebelum membincangkan mengenai jawatan tersebut.

“Kita nak kena menang negeri itu dulu, kemudian baru cakap siapa yang dilantik ... saya khuatir cakap-cakap ini macam tidak matang dan berunsur spekulatif kerana tumpuan kami adalah untuk menangkan negeri itu,” katanya sambil menambah BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali negeri jelapang padi itu.

Dalam pada itu, seorang lagi ADUN Guar Chempedak Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail tidak menyatakan secara terbuka membantah Mukhriz sebagai calon menteri besar namun berpendapat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan secara tradisinya pengerusi perhubungan Umno negeri dan pengerusi BN negeri kebiasaannya diangkat sebagai calon.

“Tapi, tidak tahulah jika Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak mahu membuat kejutan, keputusan muktamad masih ditangannya,” kata Ku Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider.

Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dipilih menggantikan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kedah selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya 2008 dan Mukhriz dilantik sebagai timbalan.

ADUN Kuah Datuk Nawawi Ahmad yang berada dalam jawatankuasa badan perhubungan Umno Kedah mengatakan beliau mengambil sikap untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak, tetapi berkata ahli Umno setia kepada Ahmad Bashah.

“Susah untuk komen saya sama ada siapa yang berkelayakan untuk menjadi menteri besar. Kedua-duanya mempunyai kebolehan dan kemampuan masing-masing, tapi apa penting ialah setia dengan kepimpinan sedia ada dan pastikan Kedah dapat ditawan semula,” katanya.

Khabar angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul beberapa tahun lalu, dengan Dr Mahathir secara terbuka menyatakan sokongan kepada anaknya jika tercalon.

Malahan kajian yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia pada Julai lalu terhadap 10,800 responden mendapati 69 peratus menyokong Mukhriz sebagai menteri besar berbanding 12 peratus yang menyokong Ahmad Bashah.

Sumber mengatakan kecenderungan kepada Mukhriz mungkin disebabkan statusnya sebagai anak Dr Mahathir dan lebih berpendidikan berbanding Ahmad Bashah.

Mereka juga memberitahu Mukhriz bakal bertanding di Ayer Hitam atau Seputeh bagi kerusi DUN, dan untuk mengelakkan beliau tergelincir terus daripada politik jika terdapat sabotaj, kerusi parlimen Jerlun juga bakal dipertahankan.

Pada Pilihan Raya 2008, BN memenangi 14 daripada 36 kerusi negeri manakala Pakatan Rakyat pula memenangi 22 kerusi dengan PAS menawan 16 daripada keseluruhan kerusi tersebut.

BN hanya memenangi empat daripada 15 kerusi parlimen di Kedah dalam pilihan raya bersejarah tersebut yang menyaksikan gabungan pemerintah tersebut kehilangan majoriti tradisi dua pertiga di parlimen.

Kedah memiliki seramai 1,025,930 pengundi seluruh kawasan DUN dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya pada November lepas.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi