Bahasa

Bukit Bintang City Centre tak pinggir Bumiputera, kata UDA

BBCC dibangunkan di tapak Penjara Pudu di ibu negara.

Pengerusi UDA Holdings Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) menegaskan projek bernilai RM6.7 bilion masih belum dianugerahkan kepada mana-mana syarikat termasuk kepada syarikat asing dari China seperti didakwa Musa.

“UDA Holdings Bhd hanya akan memilih syarikat yang berupaya memberi pulangan terbaik bukan sahaja kepada UDA Holdings Bhd, tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera khususnya peniaga kecil di Kuala Lumpur secara keseluruhannya.

“Sehubungan itu, saya kesal dengan dakwaan dan tuduhan Datuk Musa yang seolah-olah mendahului saya selaku Pengerusi UDA seperti sudah mengetahui segala butir perjanjian sedangkan UDA Holdings Bhd belum memuktamadkan sebarang perjanjian dengan mana-mana syarikat,” katanya sambil menambah, projek itu sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh terdekat agar ia dapat memberi pulangan lumayan kepada negara dan rakyat.

Kelmarin, Musa mendesak UDA Holdings supaya memilih syarikat Bumiputera bagi melaksanakan projek pembangunan semula kawasan Penjara Pudu dan bukannya menganugerahkan projek itu kepada syarikat dari China.

Beliau berkata, selaku syarikat GLC yang ditubuhkan membantu Bumiputera UDA Holdings tidak sepatutnya mengutamakan syarikat asing dalam projek itu.

Musa mengulas laporan bahawa UDA Holdings dijangka memilih syarikat hartanah terkemuka China bagi membangunkan BBCC di kawasan seluas 7.76 hektar untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Dalam pada itu, Musa mendesak Nur Jazlan mendedahkan secara terperinci ‘terma rujukan’ dan peratusan perkongsian antara UDA Holdings dengan syarikat China tersebut, kerana rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran kerjasama berkenaan boleh menguntungkan Bumiputera.

Mengulas lanjut dakwaan Musa itu, Nur Jazlan memberi jaminan bahawa projek itu tidak akan meminggirkan kepentingan Bumiputera.

“Atas sebab itu, saya berasa amat sedih atas tuduhan melulu Datuk Musa terhadap ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd tanpa mahu menghubungi UDA Holdings BHd terlebih dahulu untuk mendapatkan butir-butir mengenai pembangunan projek BBCC ini.

“Ingin saya tegaskan bahawa projek ini, yang dibangunkan atas tanah seluas 7.76 hektar di Kuala Lumpur tidak akan langsung meminggirkan kepentingan masyarakat  Bumiputera,” katanya.

Justeru kata beliau, tuduhan Musa mengatakan UDA Holdings membelakangkan kepentingan Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Selain itu, Nur Jazlan juga menjelaskan bahawa pihaknya telah menjemput 14 syarikat asing dan tempatan yang membentangkan kertas cadangan projek pembangunan itu.

“Daripada 14 syarikat, 11 syarikat hadir membentangkan kertas kerja kepada ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd pada 7 dan 8 Mac lalu dengan semuanya bukan milik Bumiputera sepenuhnya kecuali satu.

“Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd kemudian membuat penilaian secara telus dalam memastikan syarikat yang dipilih benar-benar dapat memberikan pulangan terbaik kepada syarikat tetapi juga kepada kepentingan masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

“Jadi, tuduhan Datuk Musa menyatakan bahawa UDA Holdings Bhd membelakangkan syarikat Bumiputera adalah tidak benar sama sekali kerana semua syarikat Bumiputera yang berminat membangunkan projek ini, menjalin kerjasama dengan syarikat bukan Bumiputera dan mereka tidak  mempunyai pegangan majoriti dalam kerjasama strategik berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya yang akan memegang kepentingan Bumiputera dengan memastikan kontraktor yang berkelayakan bersama-sama dengan syarikat itu menyertai projek pembangunan BBCC.

Nur Jazlan juga menjelaskan bahawa UDA Holdings kini mengalami masalah kewangan serta bank tanah yang amat kritikal selepas disenaraikan dalam bursa saham.

“Semua perlu sedar bahawa kedudukan UDA Holdings Bhd pada waktu ini, bukanlah sama seperti 40 tahun lalu, di mana ketika itu, UDA adalah sebuah syarikat pemaju hartanah yang terkemuka.

“Syarikat ini langsung tidak menerima suntikan kewangan atau bank tanah daripada kerajaan secara langsung. Akibat keadaan ini, UDA Holdings Bhd tidak mampu lagi untuk memperjuangkan agenda Bumiputera seperti digariskan sebelum ini, dalam penubuhannya,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, syarikat GLC ini juga tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat hartanah swasta yang lain.

“Bagaimanapun, kepentingan 1,400 kakitangan UDA Holdings Bhd perlu diutamakan serta dipelihara dan sebab itu UDA Holdings Bhd perlu teliti dan telus dalam melaksanakan pembangunan bekas tapak Penjara Pudu.

“Ini bagi mengelakkan projek ini terbengkalai seperti yang UDA Holdings Bhd alami pada projek Bandar Wawasan di Kampung Baru apabila tanah berkenaan diswastakan kepada sebuah syarikat kewangan dan akhirnya, ia terus terbengkalai sehingga kini dan juga kami mahu mengelakkan perkara sama berulang seperti projek Plaza Rakyat,” katanya.

Oleh yang demikian kata Nur Jazlan, syarat-syarat yang ditetapkan pihaknya adalah untuk memastikan semua syarikat yang berminat menyertai projek pembangunan BBCC dapat mengurang risiko kewangan kepada UDA Holdings.

“Ia sekali gus memberi jaminan bahawa UDA Holdings Bhd menjadi pemaju utama dalam pembangunan itu, dan mempunyai kata putus terhadap segala bentuk pembangunan di tapak berkenaan.

“Selain itu, apabila projek BBCC ini siap, UDA Holdings Bhd akan memastikan bahawa semua ruang niaga yang dimiliki UDA dalam lokasi strategik di BBCC ini, akan memberi peluang kepada peniaga Bumiputera berniaga  di sebuah kompleks membeli-belah bertaraf antarabangsa,” katanya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.