Bahasa

Bukti KDN Mat Sabu “Syiah” jadi bahan lawak media sosial

Ada yang berpendapat KDN dipergunakan oleh Zahid Hamidi atas dasar permainan politik. Gambar The Malaysian Insider.Ada yang berpendapat KDN dipergunakan oleh Zahid Hamidi atas dasar permainan politik. Gambar The Malaysian Insider.

Pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan fahaman Islam Syiah menjadi “bahan lawak” di kalangan rata-rata pengguna media sosial.

Kebanyakan mereka tidak dapat menerima hujah Mohamad kagum kepada pemimpin besar Revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini sebagai salah satu bukti beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu menganut fahaman Syiah.

“KDN, adakah jika aku kagum kat John Lennon sejak di bangku sekolah sampai dah mati dia pun aku kagum, maka aku anuti fahaman John Lennon?” tulis seorang pengguna Twitter @AbdMalekHussin yang juga merupakan Ketua Staf di pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Andai kagumi Khomeini jadi Syiah, aku Abdul Malek bin Hussin, KP 560814-06-5467 sejak 1979 kagumi Ayatullah Rohullah Mustafa Musawi al-Khomeini.”

KDN semalam mendedahkan 10 bukti penglibatan Timbalan Presiden PAS dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya kerana memuji perjuangan Khomeni.

Mohamad sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak pasti sama ada KDN memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.

“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,” katanya.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi juga memberitahu semalam, Mohamad adalah orang yang dimaksudkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mengatakan orang nombor dua PAS menganut fahaman Syiah semasa ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013.

“Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, Komunis, Hindu?
“Saya juga kagum Khomeini. Adakah saya Syiah?” tulis bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah melalui akaun Twitter @saifuddinabd petang semalam.

Ada juga pengguna media sosial yang beranggapan pendedahan KDN mengenai 10 bukti pengelibatan Mohamad dengan fahaman Syiah sebagai tindakan Ahmad Zahid memperkudakan penjawat awam.

“Saya tak peduli Mat Sabu nak jadi Sunni atau Syiah tapi saya kecewa dan marah bila menteri perkuda penjawat awam untuk tutup aib politik sendiri,” tulis seorang pengguna Twitter @najwanhalimi.

“KDN dijadikan kuda politik oleh Zahid Hamidi untuk tutup ‘political blunder’ yang dia buat ketika berucap dlm #PAU2013. Tak gentleman langsung!”.

Mengulas isu ahli politik menggunakan penjawat awam @AbdMalekHussin menulis: “Seperkara lagi. Jika Rahim Radzi KSU KDN nak main politik atau nak jadi macai politik Zahid Hamidi ~ letak jawatan masuk mana-mana cawangan Umno!”

Gambar Ibrahim Ali bersama Imam Khomeini tersebar luas di media sosial selepas KDN mengeluarkan bukti Mat Sabu menganut fahaman Syiah.Gambar Ibrahim Ali bersama Imam Khomeini tersebar luas di media sosial selepas KDN mengeluarkan bukti Mat Sabu menganut fahaman Syiah.

Selain itu, turut disebarkan oleh pengguna media sosial adalah gambar Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali bersama Ayatollah Khomeini di Paris, Perancis sebelum pemimpin itu pulang ke Tehran untuk merasmikan Revolusi Islam Iran.

“Zahid kata sapa kagum dengan Khomeini jadi Syiah - ada gambar Brahim Ali dengan Khomeini- Braheng jadi Shiah - kah kah kah. http://tukartiub.blogspot.com/2013/12/ibrahim-ali-shiah.html…,” tulis Hishamuddin Rais yang menggendalikan blog Tukar Tiub di akaun Twitter @ishamrais.

“Siapa Syiah? KDN kata sapa hormat pada Ayatollah Khomeini ialah Syiah – habis semua bani Melayu jadi Syiah kah kah kah.”

Dalam reaksi awal kepada pendedahan KDN Timbalan Presiden PAS berkata, beliau sememangnya mengagumi perjuangan Ayatollah Khomeni tetapi itu tidak bermakna dirinya berfahaman Syiah.

"Tuduhan mengatakan saya amalkan Syiah, saya tetap nafikan. Dakwaan kagum dengan Khomeini, saya ucap terima kasih.

"Saya memang kagum dengan kepimpinan Khomeini kerana dia seorang pemimpin yang boleh membawa orang Islam berdiri sendiri. Saya juga kagum dengan Setiausaha Agung Hezbollah Sayyid Hassan Nasrallah," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider semalam. – 13 Disember, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.