Bahasa

Cadangan jadikan BN parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji, kata Muhyiddin

PHUKET, 24 Mei — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan. 

Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata cadangan besar dan penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. 

“Selepas mengambil kira apa yang berlaku dalam PRU lepas kalangan pimpinan BN melontarkan pandangan apakah wajar BN dilihat semula kerana kerjasama yang wujud sekarang ialah penggabungan 13 parti yang menjadi komponen BN dengan setiap parti mempunyai perlembagaan sendiri dan cuma bergabung atas nama BN.

“Ada yang berpendapat mungkinkah sudah sampai masa bahawa penggabungan itu dapat dibentuk dalam satu situasi yang lebih mantap iaitu BN sebagai sebuah parti politik, bukan lagi gabungan pelbagai parti politik,” katanya mengulas cadangan parti Gerakan yang mahu BN bersifat parti tunggal seperti mana yang dinyatakan pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn dua hari lepas. 

Bercakap kepada pemberita di sini, Muhyiddin (gambar) berkata cadangan itu mempunyai asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan anggota parti masing-masing kerana ia melibatkan soal organisasi dan struktur penubuhannya. 

Beliau berkata walaupun cadangan itu mungkin berdepan tentangan tetapi yang penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan jika merasakan ia wajar dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh diterima semua anggota parti yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera. 

“Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena lihat sendiri struktur BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya sebuah parti yang dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan parti-parti komponen BN tetapi BN sebagai sebuah parti politik,” katanya. 

Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik diadakan bagi mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di mana semua pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat mengenai masa depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan. 

“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat ia penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan kedudukan sebegini untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti persoalan ini perlu dijawab dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar, bagaimana hal itu hendak dilaksanakan.

“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan setahun ke hadapan, kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat mungkin boleh panggil satu konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi membincangkan hala tuju dan survival parti di masa depan,” katanya. 

Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal itu ke peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “di peringkat BN saya pun telah beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin satu daripada perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan lagi sekadar kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang lama kepada struktur baharu yang lebih ke hadapan. 

Beliau berkata cadangan itu mengambil kira perubahan pemikiran masyarakat, pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu melihat parti yang dikatakan dibentuk berasaskan kaum. 

Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata bedah siasat BN berhubung keputusan pilihan raya umum yang sedang dilakukan oleh sebuah badan yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai ini.

Muhyiddin berkata bagi memastikan analisis yang tepat, bebas dan telus pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan berasas. 

“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab kita menang atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan, dan lebih lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat untuk menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh lima tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.