Bahasa

Calon BN kawasan Parlimen Kapar akan perjuangkan bidang sukan

Beliau berkata kemudahan dan infrastruktur sukan untuk semua peringkat umur daripada kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa, akan diberi keutamaan dan beliau juga berjanji untuk membaik pulih infrastruktur sukan sedia ada.

“Sekiranya diberi kepercayaan, saya akan perbaiki mutu padang dan kemudahan

sukan sedia ada kerana selain menyihatkan badan, bidang sukan juga boleh mencungkil bakat anak muda untuk ke peringkat lebih jauh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perlawanan bola sepak Sayangi Selangor Yakini BN di Padang Awam, Bukit Kapar di sini semalam.

Sakthivel turut bermain kira-kira 15 minit bersama pasukan Pilihan DUN Meru menentang Bekas Pemain Selangor antaranya Shahril Arsat, Mubin Mokhtar, Malik Rahman dan Shahrul Amri Abu Bakar.

Mengenai kempen pilihan raya sejak seminggu lepas, Sakthivel berkata beliau telah menemui hampir 70 peratus penduduk di kawasan Parlimen itu dan akan menyambung siri kempen dari rumah ke rumah bermula minggu depan.

Beliau yakin dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat dan melihat peluang BN merampas semula kerusi itu daripada pakatan pembangkang sangat cerah.

“Kami tidak amalkan kempen mengata untuk menyerang pihak lain tetapi kami membawa penerangan mengenai produk BN yang telah berjaya dilaksanakan dan janji-janji yang boleh ditepati,” katanya.

Sakhtivel kini dalam misi penting memenangi semula kerusi Parlimen Kapar daripada PKR yang memenangi kerusi itu pada 2008 dengan majoriti 12,297 undi.

Pada PRU13 ini, beliau akan menghadapi pertandingan enam penjuru menentang calon PKR G. Manimaran, calon Berjasa Mohd Pathan Hussin dan tiga calon Bebas Nor Haniza Suratman, K. Palaya dan Mohd Nazri Abdul Aziz. – Bernama 

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.