Bahasa

Calon BN yakin boleh rampas DUN Anak Bukit

ALOR STAR, 17 April — Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, Datuk Hashim Jahaya optimis mampu mengembalikan kerusi itu kepada BN setelah tiga penggal dikuasai PAS.

Keyakinan itu katanya bersandarkan pelbagai pembangunan yang telah dilaksanakannya ketika menjadi Anggota Parlimen Kuala Kedah dari 2004 hingga 2008, antaranya jalan di Kampung Alor Ganu yang dilaksanakan menerusi peruntukan kerajaan pusat berjumlah RM14 juta.

“Mini Putrajaya di bandar Anak Bukit, Muzium Padi, Pusat Sains Negara dan Pusat Pertanian contohnya, menjadi kenyataan kerana kerajaan pusat. Nak harap wakil rakyat PAS, tiada satu pun sumbangan mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada pilihan raya umum 2008, Hashim kalah kepada Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu ketika cuba mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kedah.

Keyakinan peguam berusia 51 tahun itu juga turut disandarkan kepada desas-desus penyandang DUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah bakal bertanding di kawasan lain selepas gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada pengundi di kawasan terbabit.

Anak Bukit memerlukan lebih banyak infrastruktur, katanya menambah walaupun dilantik sebagai exco kerajaan negeri Kedah, Amiruddin gagal melaksanakan sebarang pembangunan di situ.

Hashim turut menyifatkan gandingannya bersama Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah (DUN Kubang Rotan) dan Nor Hanita Mat Isa (Pengkalan Kundor) serta Dr Zaki Zamani Abdul Rashid (Parlimen Kuala Kedah) mampu memberi wajah baharu kepada Kuala Kedah sekiranya BN memenangi pilihan raya umum kali ini. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.