Bahasa

Calon BN yakin pengundi Raub tetap sokong BN

April 19, 2013

RAUB, 19 April — Calon Barisan Nasional (BN) dari MCA di kerusi Parlimen Raub, Datuk Hoh Khai Mun yakin pengundi di kawasan itu, kira-kira 50 peratus Melayu dan Cina pada kadar peratusan hampir sama, akan tetap menyokong BN pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Beliau yakin mereka akan tetap bersama BN bagi memastikan kelangsungan pembangunan di kawasan itu yang  pesat di bawah pimpinan penyandang kerusi itu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan.

Raub, yang popular dengan destinasi pelancongan Bukit Fraser, kini semakin dikenali pelancong asing dan tempatan dengan kewujudan program inap desa atau homestay yang memberikan banyak manfaat kepada penduduk kampung.

Menurut Hoh, langkah DAP meletakkan calon Melayu, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bertanding di kerusi Parlimen itu, diyakini tidak akan memberi kesan kepada sokongan pengundi.

“Saya yakin rakyat di sini tidak akan mengundi berdasarkan calon tetapi parti, lagipun Ariff Sabri merupakan bekas wakil rakyat Umno (bekas anggota DUN Pulau Manis di Parlimen Pekan), rakyat boleh menilai prestasinya sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran jentera pilihan raya Pemuda BN Parlimen Raub, di sini.

Hoh, 50, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang dan penyandang kerusi DUN Bilut, berkata keyakinan itu juga berdasarkan pilihan raya umum sebelum ini, DAP telah meletakkan calon Melayu di parlimen berkenaan tapi nyata gagal meraih sokongan pengundi.

Beliau juga yakin pengundi Cina akan terus memihak kepada BN, kerana mereka yakin hanya BN yang mampu membawa perubahan dan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi.

“Berdasarkan data yang kita ada, daripada jumlah 54,214 pengundi, 49.12 peratus adalah pengundi Melayu, Cina (43.51 peratus), India (6.48 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus),” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Ng menang kerusi Parlimen Raub dengan majoriti 2,752 undi mengalahkan calon DAP, Abu Bakar Lebai Sudin.

“Saya berjanji jika dipilih nanti, BN akan menjadikan daerah Raub sebagai sebuah bandar yang pesat  membangun dengan menyediakan lebih banyak pembangunan serta  peluang pekerjaan dan ekonomi kepada penduduk setempat,” kata Hoh.

Pengerusi Penyelaras BN Kawasan Parlimen Raub Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata BN juga yakin mampu merampas kembali kerusi DUN Tras, yang dimenangi DAP pada 2008.

“Kita yakin menerusi penerangan dan penjelasan jentera kita, pengundi kawasan berkenaan akan terus yakin dengan program transformasi kerajaan BN yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Shahiruddin yang akan mempertahankan kerusi DUN Dong berkata beliau yakin calon BN daripada Wanita MCA, Win Lei Hiang di DUN Tras akan mampu memenangi hati pengundi.

Bagi Parlimen Raub, terdapat tiga kawasan DUN  iaitu Tras, Batu Talam dan Dong. DUN Tras disandang calon DAP Choong Siew Onn. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi