Bahasa

CAP desak Pulau Pinang batal projek terowong

March 18, 2013

GEORGE TOWN, 18 Mac — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan projek terowong dasar laut kerana ia dipercayai akan mendatangkan kerugian dalam waktu jangka panjang.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata projek itu bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan kerajaan negeri harus mengkaji pelbagai aspek terutama melibatkan keselamatan pengguna serta kesan terhadap alam sekitar.

“Projek itu sebenarnya mengembangkan lagi rangkaian jalan sedia ada menyebabkan jalan itu nanti akan bertambah sesak. Di negeri ini, pertambahan kenderaan baharu mencecah 100,000 setiap tahun, masalah kesesakan lalu lintas akan berlaku lebih awal daripada yang dijangka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata projek terowong itu hanya memberi keutamaan kepada kenderaan bermotor dan hanyalah berupa penyelesaian jangka pendek.

“Kami melihat Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bercadang meneruskan dasar yang akan mewujudkan keadaan yang lebih buruk dan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Lim baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan Persiaran Gurney di pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar.

Projek mega yang diumum kerajaan negeri pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan empat lebuh raya utama termasuk terowong bawah dasar laut berkenaan.

Pembinaan projek itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas yang dibentuk daripada lima syarikat - Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction (dua syarikat ini memegang keseluruhan 70 peratus ekuiti), Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd yang masing-masing memiliki 10 peratus.

Mohamed Idris berkata Lim dilihat seolah-olah begitu terdesak mengumumkan projek itu sedangkan Jambatan Kedua Pulau Pinang kedua masih belum beroperasi dan kesan lalu lintas belum dapat dinilai lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Lim menyerahkan tanah tebus guna seluas 44.51 hektar di Tanjung Pinang sebagai bayaran kepada pemaju projek berkenaan kerana nilai tanah semakin meningkat dan mendakwa transaksi seumpama itu hanya memanfaatkan pemaju.

Beliau mendakwa projek itu juga akan merosakkan kawasan pantai di negeri ini. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi