Bahasa

Cara tradisi membuat rempeyek dikekalkan

August 24, 2010

Halimah gigih berusaha membuat makanan ringan, rempeyek, sebagai sumber pendapatannya. — Gambar BernamaHalimah gigih berusaha membuat makanan ringan, rempeyek, sebagai sumber pendapatannya. — Gambar BernamaKULIM, 24 Ogos — Ketika pengusaha kuih rempeyek beralih kepada cara moden untuk menghasilkannya, Halimah Che Rus, 46, dari Kampung Syed Sheh di sini terus mengekalkan cara tradisional menghasilkan kuih tersebut berikutan ramai pelanggannya yang lebih berminat dengan cara itu.

“Tidaklah banyak sangat jumlah rempeyek yang dapat saya sediakan, lebih-lebih lagi bekerja sendirian tetapi mampu menghasilkan hampir 50,000 keping rempeyek yang dipesan pelanggan tetap,” kata beliau yang membahasakan dirinya Mah Ngah.

Isteri kepada seorang pesara guru Zainol Che Mat, 71, Halimah telah membuat dan menjual makanan tradisional ini secara komersial sejak lima tahun lalu dan dalam tempoh tersebut juga beliau mampu membeli sebuah kereta terpakai Perodua Kancil yang berharga lebih RM25,000 yang dibeli secara tunai, hasil kerja kerasnya itu.

Katanya, beliau sering mendapat tempahan daripada pelbagai pertubuhan sukarela dan jabatan kerajaan dan rumah kenduri yang telah mengetahui usaha kecil-kecilan yang telah dijalankanya itu.

Halimah menyediakan rempeyek menggunakan kaedah tradisional yang dijual RM18 untuk 100 keping di rumahnya di Kampung Syed Sheh, Kilang Lama, Kulim. — Gambar BernamaHalimah menyediakan rempeyek menggunakan kaedah tradisional yang dijual RM18 untuk 100 keping di rumahnya di Kampung Syed Sheh, Kilang Lama, Kulim. — Gambar BernamaHalimah yang mendapat galakan daripada suaminya dalam usahanya ini, membuat tiga jenis rempeyek bergantung kepada pilihan pelanggan iaitu rempeyek ikan bilis dan kacang tanah, rempeyek kacang dal dan rempeyek kacang tanah.

“Dalam seminggu saya menggunakan kira-kira 20 kilogram tepung beras dan bahan-bahan lain seperti kacang tanah, ikan bilis, kacang dal, jintan manis, jinta putih dan telur yang diperlukan dalam menu saya ini,” kata beliau.

Katanya rempeyek buatannya pernah dibawa oleh satu keluarga ke Pakistan dan sering mendapat tempahan daripada pelanggan-pelanggannya daripada kalangan keluarga tentera di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Tahun ini saya mendapat tempahan hampir 80,000 keping daripada pelanggan tetapi oleh kerana kekurangan tenaga pembantu untuk menyediakanya, saya hanya mampu menunaikan tempahan sebanyak 50,000 saja,” katanya.

Halimah berkata bagi memenuhi pesanan daripada pelanggannya, setiap hari beliau mengambil masa hampir 10 jam bertungkus lumus menyiapkan tempahan yang dipesan dengan antara 700 dan 800 keping sehari dan dijangka siap empat atau lima hari sebelum hari raya.

Beliau berkata selain rempeyek beliau juga seringkali mendapat tempahan untuk menyediakan kek cawan yang kini semakin popular sebagai buah tangan kenduri kahwin. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi