Bahasa

CEO: Pinjaman Tekun memang hanya untuk ahli Umno

Rahim Hassan (kiri) bersama pengerusi Tekun Nasional, Datuk Hamidah Osman di sidang akhbar Program Kerjasama Strategik Tekun Nasional dan Sohonista di Seri Pacific Hotel hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Oktober 2013.Rahim Hassan (kiri) bersama pengerusi Tekun Nasional, Datuk Hamidah Osman di sidang akhbar Program Kerjasama Strategik Tekun Nasional dan Sohonista di Seri Pacific Hotel hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Oktober 2013.Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memang ditubuhkan bagi membantu ahli Umno kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Datuk Abdul Rahim Hassan.

Ini kerana menurutnya, Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu. Bagaimana pun beliau menafikan Tekun menolak seratus-peratus permohonan mereka yang bukan dari Umno.

"Pembangkang selalu kata (Tekun) hanya memberi pinjaman kepada ahlinya, kami punyai hak untuk mempertahankannya kerana ia merupakan idea yang diasaskan parti.

"Namun tidak bermakna kita langsung mengendahkan permohonan lain asalkan mereka kaum Bumiputera kami terima tapi kepentingan sudah tentu kepada ahli Umno," katanya dalam sidang media bagi Program Kerjasama Strategi Tekun Nasional & Sohonista di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Rahim, Tekun ditubuhkan semasa Konvesyen Umno Pulau Pinang pada tahun 1994.

"Kerana itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu menekankan perkembangan dan beliau sendiri berkata Tekun merupakan anak kandung Umno," katanya.

Dana tambahan RM700 juta merupakan antara salah satu dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Najib baru-baru ini.

Tekun akan menerima dana tersebut bermula tahun depan dan ia akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

"Kita tidak dapat sekaligus ia secara berperingkat tapi memang setiap tahun kita menerima RM300 juta dan RM300 juta merupakan bayaran balik daripada peminjam yang kita terima.

"Tambahan dana itu adalah kerana seruan perdana menteri yang mahukan kita meningkatkan pinjaman sehingga ke RM100,000, jadi inilah wadah perjuangan Tekun iaitu membantu kaum Bumiputera tanpa mementingkan keuntungan," katanya lagi.

Beliau berkata Tekun juga mengalakkan permohonan pinjaman dari usahawan muda dikalangan siswazah yang baru menamatkan pelajaran.

"Golongan muda antara yang perlu diberi perhatian, terutama perkembangan trend sekarang ramai usahawan terdiri daripada lepasan siswazah dilihat lebih suka menjalankan perniagaan sendiri.

"Kerana itu kita beri ruang kepada mereka untuk berniaga dengan program seperti Sohonista ini supaya mereka kemudiannya tidak menentang kerajaan akibat kegagalan kerajaan yang tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada semua lepasan mahasiswa dan inilah peranan Tekun," katanya. – 7 Oktober, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.